Aliran trafik di Plaza Tol Gombak menghala ke Pantai Timur bergerak lancar, terkawal
Bernama
April 29, 2022 22:51 MYT
April 29, 2022 22:51 MYT
KUALA LUMPUR: Aliran trafik di Plaza Tol Gombak menghala ke Pantai Timur setakat ini dalam keadaan lancar dan terkawal.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintenden Azman Shari'at berkata pergerakan kenderaan merentas negeri di lebuh raya utama itu dijangka meningkat selepas waktu berbuka puasa malam ini.
Beliau berkata ia susulan tawaran tol percuma dan diskaun sempena sambutan Aidilfitri pada waktu tengah malam ini hingga 1 Mei.
"Orang ramai akan mengambil peluang bermula waktu maghrib hari ini sehingga ke malam esok," katanya kepada pemberita di Plaza Tol Gombak di sini.
Azman juga berkata pihaknya memberi perhatian yang serius terhadap kesalahan memotong barisan dan memandu di lorong kecemasan.
"Kepada para pengguna jalan raya yang sempat merakam kesalahan tersebut boleh menyalurkan bukti di talian 019-645 9622 oleh pihak JSPT Selangor dan sila nyatakan tempat dan masa kesalahan itu dilakukan," katanya.
Beliau menasihati orang ramai yang pulang ke kampung halaman supaya berhati-hati ketika memandu dan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
Di NEGERI SEMBILAN, tinjauan trafik mendapati tiada kesesakan dan pertambahan kenderaan yang luar biasa memasuki Bandaraya Seremban melalui Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Seremban.
Bagaimanapun, keadaan di pusat bandar kelihatan sedikit sesak berikutan orang ramai pulang dari kerja dan kemasukan kenderaan yang pulang ke kampung halaman di sini sejak 6 petang tadi hingga 8 malam ini.
-- BERNAMA