Aliran trafik di lebuh raya utama perlahan

Bernama
Oktober 21, 2022 21:39 MYT
Sebanyak 1.9 juta kenderaan dijangka akan menggunakan semua rangkaian lebuh raya PLUS sempena Deepavali dan cuti tambahan persekolahan bermula hari ini hingga 26 Okt ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama perlahan susulan pertambahan kenderaan di jalan raya berikutan cuti panjang sempena perayaan Deepavali.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi maklumat terkini trafik di laman Twitter memaklumkan kenderaan bergerak perlahan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dari arah timur (Kuantan) sebelum memasuki Plaza Tol Gombak dan dari Lentang ke Plaza Tol Bentong.
Aliran trafik turut dilaporkan perlahan arah barat dari Hentian Gombak ke Plaza Tol Gombak dan ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), selain perlahan arah selatan dari Plaza Tol Sungai Besi ke Bangi, Seremban ke Senawang, Senawang ke Pedas Linggi dan dari Kempas ke Pasir Gudang.
Sementara itu, di arah utara, kenderaan bergerak perlahan dari Pasir Gudang ke Dato' Onn, Senai ke Kulai, Pedas Linggi ke Port Dickson dan selepas Plaza Tol Sungai Besi ke ibu kota.
"Peningkatan kenderaan di atas jalan raya sejak petang tadi dijangka terus berlarutan menjelang tengah malam," kata jurucakap LLM ketika dihubungi Bernama.
Semalam, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan memaklumkan 1.9 juta kenderaan dijangka akan menggunakan semua rangkaian lebuh raya kendaliannya sempena Deepavali dan cuti tambahan persekolahan bermula hari ini hingga 26 Okt ini.
-- BERNAMA
#cuti panjang #Deepavali #keadaan trafik terkini #lebuh raya sesak
;