BEBERAPA lokasi di laluan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan mulai sesak setakat jam 10.06 pagi Ahad, berikutan pertambahan kenderaan yang ingin pulang ke kampung halaman menjelang sambutan Aidilfitri.

Tinjauan di Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Plus Trafik mendapati, kesesakan trafik berlaku sejauh 3.5 kilometer (KM) untuk laluan arah Selatan dari Port Dickson ke Pedas Linggi.

Trafik arah Selatan dari Senawang ke Pedas Linggi juga merekodkan kesesakan sepanjang tiga kilometer manakala kesesakan aliran trafik dari Putra Mahkota ke Bandar Ainsdale dilaporkan meningkat kepada sejauh 11km.



Untuk laluan arah Timur, kesesakan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) terus meningkat kepada sejauh 33km bermula dari Greenwood di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Taman Melati hingga ke Plaza Tol Gombak serta seterusnya ke Bukit Tinggi.


Sementara itu, kesesakan sepanjang 31km juga direkodkan di laluan arah Utara dari Slim River ke Bidor.

Aliran trafik arah Utara dari Bidor ke Tapah juga direkodkan mengalami kesesakan sejauh tujuh kilometer.


Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/LLMinfotrafik


*Berita asal di Sinar Harian