Aliran trafik di beberapa lebuh raya bergerak perlahan petang tadi

Bernama
Februari 8, 2013 19:39 MYT
Aliran trafik di beberapa lebuh raya dilaporkan bergerak perlahan mulai petang ini apabila warga kota mula pulang ke kampung sempena sambutan Tahun Baharu Cina Ahad ini.
Menurut jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), keadaan sesak dan pergerakan perlahan berlaku di plaza tol Jalan Duta bagi perjalanan ke utara dan Plaza Tol Sungai Besi ke selatan.
"Bagi plaza tol Karak menuju ke pantai timur trafik dilaporkan bertambah dan terkawal setakat pukul 6.15 petang ini," katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, laman Twitter PLUS melaporkan kemalangan yang berlaku pada 6.18 petang di Km283.0 arah selatan dari Nilai ke Seremban turut menyebabkan kesesakan.
Bagaimanapun, aliran kenderaan kembali lancar selepas lorong kanan dibuka.
Selain itu trafik juga meningkat dari Juru ke Sungai Dua pada pukul 6.30 petang.
PLUS dan LLM menasihati pengguna lebuh raya supaya memandu dengan berhati-hati dalam cuaca hujan selain mengawasi jarak keselamatan kenderaan mereka.
#Tahun Baru Cina
;