Aliran trafik dari utara lancar setakat 9 malam

Bernama
Oktober 24, 2022 23:55 MYT
Aliran trafik menuju Lembah Klang dari utara mulai lancar setakat 9 malam ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Aliran trafik menuju Lembah Klang dari utara mulai lancar setakat 9 malam ini, manakala masih sesak dari pantai timur dan selatan berikutan orang ramai mulai pulang ke rumah masing-masing, selepas cuti perayaan Hari Deepavali.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi maklumat terkini trafik di laman Twitter memaklumkan bagi laluan dari pantai timur, kesesakan berlaku di persimpangan Karak menuju ke Plaza Tol Bentong sehingga ke Lentang di Pahang dan dari Genting Sempah sehingga ke Plaza Tol Gombak.
Bagi arah selatan menuju ke Lembah Klang, kesesakan berlaku di Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Tangkak menuju ke Ayer Keroh, Simpang Ampat ke Hentian Pedas Linggi, Pedas Linggi ke Persimpangan Port Dickson, Seremban ke Nilai dan dari Kajang menuju ke Universiti Putra Malaysia.
Secara keseluruhannya aliran trafik dari utara dalam keadaan terkawal, kecuali kesesakan dilaporkan berlaku dari Kuala Kangsar ke Ipoh.
"Bagi arah ke selatan, trafik sesak di Simpang Renggam ke Sedenak dan dari Hentian Kulai ke Kulai di Johor," menurut ciapan LLM itu.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter melalui www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM 1800-88-7752 serta laman Twitter www.twitter.com/llminfotrafik.
-- BERNAMA
#aliran trafik dari utara #Lembaga Lebuhraya Malaysia #cuti perayaan Hari Deepavali #trafik lancar
;