Mantan perdana menteri, Tun Mahathir Mohammad dalam catatan terbaharunya di blog beliau, chedet.cc, berbicara tentang pemisahan kaum anak-anak Malaysia dalam alam persekolahan.

Disampaikan Mahathir dalam 14 perenggan yang bernas dan sinis, ia memberi gambaran sebenar tentang trend yang wujud dalam masyarakat Malaysia sekarang ini.

Penulisan Mahathir dimulakan dengan latar sejarah pendidikan tanah air, bermula dengan penubuhan sekolah kebangsaan, pemansuhan sekolah aliran Inggeris dan seterusnya tentang kelulusan mewujudkan sekolah-sekolah vernakular mengikut bahasa etnik.

“Hasilnya adalah penghijrahan pelajar-pelajar Cina ke sekolah-sekolah menengah Cina. Dengan perkembangan ini, anak-anak daripada kaum berbeza hilang kesemua peluang untuk membesar bersama – anak Melayu ke sekolah kebangsaan, anak Cina ke sekolah rendah dan menengah Cina, dan India ke sekolah-sekolah Tamil,” kata beliau.

Selain itu, beliau menulis tentang kelaziman ibu bapa berkemampuan di negara ini yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta.

Mahathir juga menyentuh tentang kewujudan sekolah-sekolah antarabangsa yang menggunakan Bahasa Inggeris. Seterusnya mengenai pembukaan sekolah-sekolah persendirian tempatan yang kebanyakannya menggunakan bahasa tersebut sebagai medium juga dibangunkan.

“Kemudian anak-anak menteri, mula ke sekolah-sekolah persendirian dan sekolah-sekolah antarabangsa yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran. Menteri-menteri juga menghantar anak-anak mereka ke sekolah awam (sebenarnya persendirian) di United Kingdom. Maka, anak-anak orang kaya pun mengikuti.

“Hasilnya ialah golongan kaya belajar di sekolah-sekolah persendirian di Malaysia dan di United Kingdom sementara yang miskin belajar di sekolah-sekolah kebangsaan yang dekat dengan rumah mereka,” kata Mahathir.

Mahathir dalam penulisannya menzahirkan kekhuatiran bukan sahaja soal pemisahan kaum akibat sekolah-sekolah berasaskan bahasa etnik, malah sekarang melihat pemisahan anak-anak orang kaya dan yang miskin.

“Golongan kaya sekarang bertutur Bahasa Inggeris manakala yang miskin bertutur dalam bahasa Melayu, Cina atau Tamil. Peluang kerja pula menyebelahi mereka yang bertutur Bahasa Inggeris,” ujar beliau.

Mahathir sempat menyelar golongan nasionalis bahasa Melayu yang tidak pula membantah pengajaran mata pelajaran mengikut bahasa etnik, sepertimana mereka membantah penggunaan Bahasa Inggeris untuk mata pelajaran Sains dan Matematik.

"Secara tidak langsung, para nasionalis Bahasa Melayu turut membantu mempromosi penggunaan bahasa Cina di sekolah-sekolah Cina dan dalam perniagaan," kata beliau.