Aliff Aziz hadir ke mahkamah berkaca mata hitam, ditemani pengawal peribadi
Gempak
Jun 13, 2024 13:12 MYT
Jun 13, 2024 13:12 MYT
PENYANYI dan pelakon, Aliff Aziz, dilihat tenang semasa tiba di perkarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan sekitar pukul 12.25 tengah hari ini untuk prosiding kes permohonan cerai oleh isterinya, pelakon dan penyanyi Bella Astillah.
Aliff ditemani bapanya, Aziz Sapdan, peguam syarie Hadi Salleh dan dua orang pengawal peribadi.
Aliff yang hadir berbaju kemeja putih dan berkaca mata hitam bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen berhubung prosiding keputusan laporan Jawantakuasa Pendamai (JKP).
Bagaimanapun bapanya, berharap agar prosiding mahkamah hari ini akan berjalan lancar.
“Insya-Allah, doa yang baik-baik,” katanya ringkas.
Sebelum ini, Bella telah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 11 Mac lalu kerana tiada lagi perasaan sayang.
Semasa perbicaraan kedua prosiding cerai pada 4 April lalu, Aliff bagaimanapun enggan menceraikan Bella dengan alasan masih menyayangi isterinya itu.
Untuk rekod, Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016. Mereka pernah bercerai talak satu pada April 2020 namun rujuk semula ketika masih dalam tempoh edah.
*Artikel disiarkan di Gempak