Ali Rustam: Kenyataan Pas keluar Pakatan Rakyat hanya drama

Bernama
Februari 17, 2013 20:13 MYT
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) bahawa parti itu mungkin keluar dari pakatan pembangkang sekadar drama dan cakap politik sahaja.
Beliau yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata PAS sebenarnya dalam keadaan tertekan kerana parti itu kini terbukti tidak memperjuangkan Islam khususnya dalam isu penggunaan kalimah Allah.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi bahawa Pas mungkin keluar pakatan pembangkang sekiranya merugikan Islam.
Pas tidak akan mampu menyelesaikan isu tersebut yang telah menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam dan dalam masa sama ia memerlukan undi penyokong DAP pada pilihan raya umum ke-13 nanti, katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup program Perkhemahan Bersama Bersatu Zon Selatan di sini, hari ini.
Mohd Ali berkata sebagai parti yang dikatakan memperjuangkan Islam, Pas seharusnya menghalang serta menegur Pengerusi DAP Karpal Singh daripada mencampuri hal ehwal Islam.
#Datuk Seri Abdul Hadi Awang #Datuk Seri Mohd Ali Rustam #drama
;