Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara terbaik - Khairy
Firdaus Azil
April 25, 2022 13:13 MYT
April 25, 2022 13:13 MYT
PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyifatkan Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa sebagai Ketua Setiausaha Negara yang terbaik sehingga kini.
Ketika ditemui pemberita, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau secara peribadi amat rapat dengan Allahyarham, dan banyak belajar tentang pentadbiran negara.
Biarpun pertama kali berkhidmat sebagai Menteri Kabinet (portfolio Belia dan Sukan) pada usia 33 tahun, namun Khairy berkata, Ali tidak pernah kedekut ilmu dan nasihat.
“Secara peribadi saya sangat rapat dengan Allahyarham dan saya dilantik sebagai menteri ketika berusia 33 tahun dan tidak pernah ada apa-apa pengalaman dalam pentadbiran kerajaan ketika itu.
“Banyak perkara saya belajar dari Tan Sri Ali selaku Ketua Setiausaha Negara … seorang yang pemurah dengan ilmu, yang telah beri nasihat serta bimbingan kepada saya sebagai anggota pentadbiran,” katanya.
Katanya lagi, Ali mempunyai cara pemikiran yang luar biasa dalam kalangan penjawat awam, termasuk melihat sesuatu isu bukan hanya dari sudut penjawat awam, tapi dari sudut pelbagai pihak.
“Pengalaman beliau sebagai Ketua Unit Kerja Awam Swasta (UKAS) sangat bernilai apabila menjadi KSN. Bukan hanya melihat penyelesaian kepada masalah rakyat, kerajaan, datang dari kerajaan semata-mata, tetapi dari pelbagai sudut dan pendekatan,” katanya lagi.
Khairy merupakan antara ribuan yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah bekas KSN itu.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, nasihat Allahyarham yang paling diingati adalah supaya sentiasa menjayakan sesebuah organisasi dengan sumber manusia atau orang sedia ada,
“Pada waktu kita menjadi menteri, ada menteri yang nak tukar KSU, nak lantik KSU baharu dan sebagianya. Tapi Tan Sri Ali sentiasa mengingatkan kita bahawa antara ciri seorang pemimpin, menteri adalah untuk menjayakan sesebuah organisasi dengan orang sedia ada. Tak perlu tukar orang.
“If you are a leader, mesti tunjuk kepimpinan dengan sumber manusia sedia ada. Bagi saya itu antara nasihat yang paling saya hargai, bukan kita jadi menteri nak tukar orang dan sebagainya. Saya cuba kerja dengan orang yang saya ada,” katanya lagi.