'Alhamdulillah, jumpa nanti Adik ...' - TMJ tunai hasrat terakhir Adam ke Legoland
Faris Danial Razi
Disember 17, 2021 19:55 MYT
Disember 17, 2021 19:55 MYT
KUALA LUMPUR: Impian akhir adik Mohd Adam Amsyar bakal tercapai selepas hasratnya untuk ke Legoland Malaysia mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Mohd Adam menghidap penyakit jantung terbalik atau mitral valve atresia, berusia 9 tahun dan berasal dari Pontian, Johor.
Nasib adik ini dilaporkan akhbar Harian Metro pada Jumaat, tentang bagaimana dia mengimpikan untuk beriadah di taman rekreasi berkenaan yang terletak di Nusajaya, Johor.
Tunku Ismail dalam satu kenyataan di Twitter berkenan memaklumkan bahawa bantuan untuk Adam dan keluarganya akan disalurkan sekeluarga.
“Alhamdulillah ... Jumpa nanti adik Adam. Salam,” titah baginda.
Menerusi ciapan tersebut, TMJ berkongsikan artikel berjudul “Teringin ke Legoland sebelum berakhir hayat” kepada individu yang dipercayai pegawai istana Baginda.
“Bagi makumat, bayar semua sekali keperluan anak ini. Saya tanggung,” titah Tunku Ismail.
Sebelum ini, seorang pengguna Twitter berkongsikan artikel tersebut kepada TMJ, yang menyatakan semoga ada rezeki untuk pesakit (Adam).
Ia mendapat perhatian TMJ yang bertitah akan meminta laporan dan salurkan bantuan dengan segera.
Terdahulu, kisah Adam yang disahkan menghidapi penyakit masalah jantung ketika usianya tujuh tahun dengan pakar meramalnya tidak mempunyai jangka hayat yang panjang.
Bapanya, Abd Rahman Ahmad, 47, berkata, doktor pakar hospital awam yang merawat anaknya memaklumkan penyakit itu bukan sahaja amat jarang berlaku malah hanya tiga pesakit sahaja termasuk anak bongsunya, dikesan menderita penyakit berkenaan di negara ini.
Laporan itu turut memetik, Adam turut sebak ketika bapanya menangis menceritakan penderitaan ditanggungnya berkata, dia sangat menyayangi bapanya itu yang tidak pernah jenuh menggembirakan hatinya walaupun kehidupan mereka susah.
"Saya ada beritahu ayah yang saya teringin untuk ke Legoland sebelum akhir hayat saya ...ayah turut berjanji dia akan bekerja lebih gigih bagi mencari wang untuk bawa saya.
"Kalau tak pergi Legoland pun tak apa, sebab bersama ayah pun dah gembirakan hati saya," katanya.
Ciapan TMJ itu mendapat lebih 1,700 ciapan semula dan menarik perhatian ramai individu yang terkesan dengan nasib adik Adam.