Alexander setuju perkhidmatan bot ekspres Kapit dihentikan sementara demi keselamatan
Munirah Mudzamli
Mei 29, 2021 13:33 MYT
Mei 29, 2021 13:33 MYT
KUCHING: Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mahu perkhidmatan bos ekspres ke Kapit dihentikan sementara bagi memastikan keselamatan orang ramai di daerah itu.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Alexander turut menyokong gesaan Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh Tan Sri Dr James Jemut Masing berhubung perkara itu.
Jelasnya, beliau akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk melihat tindakan sewajarnya yang boleh diambil berkaitan perkhidmatan bot ekspres di daerah itu.
"Malah, saya menyokong sebarang usaha untuk mengawal frekuensi perjalanan bot ke Kapit menjelang sambutan Hari Gawai selain meminta pihak berkuasa termasuk polis untuk menggandakan operasi pematuhan SOP di terminal bot dan di dalam bot.
"Dalam pada itu, saya juga menyeru masyarakat terutama penduduk berasal dari Kapit untuk bersama-sama memainkan peranan masing-masing mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan demi melindungi diri, keluarga dan orang tersayang daripada dijangkiti CCOVID-19," katanya dalam kenyataan itu.
Tambah Alexander, SOP keselamatan dan larangan rentas negeri yang ditetapkan kerajaan bukan suka-suka atau menyusahkan sebaliknya berpandukan faktar serta penilaian risiko oleh pakar kesihatan selain pihak berkepentingan.
Katanya, ledakan kes harian baharu COVID-19 yang tinggi perlu perhatian serius selain kerjasama semua pihak terutama masyarakat.
"Saya memahami betapa pentingnya tradisi berkumpul bersama ahli keluarga di musim-musim perayaan ini. Tetapi saya merayu kepada semua terutamanya penduduk Kapit untuk mematuhi segala arahan yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat dan negeri.
"Tidak pulang ke kampung bermakna kita cuba melindungi nyawa keluarga tersayang dan orang di sekeliling kita," katanya.
#Pulang Gawai
#Kapit
#Jeti pelabuhan Kapit
#Alexander Nanta Linggi
#pulang kampung
#Sarawak
#bot ekspres