Alexander Nanta Linggi nafi terlibat dalam promosi sistem aplikasi bitcoin

Isabelle Leong
Oktober 22, 2020 14:48 MYT
Alexander dalam satu kenyataan pada Khamis berkata berita laporan yang bertajuk 'BREAKING: Alexander Nanta Linggi Reveals A System So Coronavirus (COVID-19) Does Not Affect the Economy of Malaysians' itu merupakan satu iklan dan promosi palsu.
KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan artikel mengenai penglibatan beliau dalam mempromosikan satu sistem aplikasi kewangan bitcoin.
Alexander dalam satu kenyataan pada Khamis berkata berita laporan yang bertajuk ‘BREAKING: Alexander Nanta Linggi Reveals A System So Coronavirus (COVID-19) Does Not Affect the Economy of Malaysians’ itu merupakan satu iklan dan promosi palsu.
“Saya difahamkan bahawa gambar dan nama saya telah digunakan oleh pihak tertentu untuk mempromosikan satu sistem aplikasi yang dikatakan berkaitan dengan sistem kewangan bitcoin.
“Saya ingin memaklumkan bahawa saya tidak pernah ditemu bual atau mengeluarkan sebarang kenyataan untuk mempromosikan sebarang sistem aplikasi kewangan sedemikian,” katanya.
Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit turut menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang promosi yang meragukan.
“Saya juga ingin menasihatkan semua pihak agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang promosi yang menggunakan nama personaliti atau individu yang dikenali ramai di platform media yang mencurigakan.
“Semak dahulu kesahihan sesuatu iklan yang menawarkan keuntungan yang meragukan dan laporkan segera perkara itu kepada pihak berkuasa jika mencurigakan,” katanya.
#Alexander Nanta Linggi #Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna #Bitcoin #promosi palsu #Ahli Parlimen Kapit
;