Alat pemadam api meletup, tiga cedera, seorang hampir putus kaki

Abd Razak Mohd Ali
Mei 5, 2021 21:59 MYT
Ketiga-tiga mereka dikatakan sedang melakukan kerja mengisi semula alat pemadam api apabila salah satu daripadanya meletup. - Gambar/ JBPM
IPOH: Tiga lelaki cedera, termasuk seorang hampir putus kaki apabila alat pemadam api meletup di sebuah rumah kedai di Jalan Hussin Nordin, Taman Pearl, dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 5.09 petang itu, mereka dikatakan sedang melakukan kerja-kerja mengisi semula alat pemadam api apabila salah satu daripadanya meletup.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, didapati tiga orang mangsa mengalami kecederaan akibat terkena serpihan letupan alat pemadam api,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, salah seorang mangsa mengalami kecederaan parah dengan bahagian kakinya hampir putus.
Katanya, anggota bomba memberi rawatan awal kepada mangsa yang terlibat sebelum diserahkan kepada ambulans dan dihantar ke hospital.
#alat pemadam api #meletup #tiga cedera #mangsa #putus kaki #serpihan alat pemadam api #rumah kedai #mengisi semula alat pemadam api
;