'Alat muzik lama' didakwa punca 25 pelajar sekolah diserang histeria

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 18, 2022 15:40 MYT
Seramai 25 pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Kepala Batas, Pulau Pinang diserang histeria dalam kejadian pada Rabu. - Gambar Astro AWANI
KEPALA BATAS: Seramai 25 pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di sini diserang histeria dalam kejadian pada Rabu.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 11.40 pagi apabila seorang pelajar tiba-tiba meracau dan menjerit selepas mendakwa ternampak lembaga hitam di bahagian siling kelasnya.
Kekacauan itu merebak ke kelas bersebelahan apabila beberapa pelajar lain turut menjerit dan meracau sehingga menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran terpaksa dihentikan.
Menurut salah seornag waris pelajar itu yang mahu dikenali sebagai Siti Sarah , dia mengetahui mengenai kejadian histeria selepas anak lelakinya memaklumkan mengenai insiden tersebut.
Katanya, ibu bapa diminta datang awal ke sekolah untuk membawa pulang anak mereka susulan kejadian tersebut.
“Ada anak beritahu ada kejadian histeria di sekolah semalam, ramai juga yang kena histeria itu, pihak sekolah beritahu ibu bapa supaya datang ambil anak pulang awal semalam dalam pukul 12.30 tengah hari.
“Terkejut juga bila dimaklumkan kejadian tersebut… ramai ibu bapa datang ambil anak semua, tak tahu apa puncanya berlaku histeria, tapi hari ini keadaan sudah seperti biasa,” kata Siti Sarah.
Seorang pekerja sekolah yang enggan dikenali pula berkata, difahamkan kejadian histeria berlaku berkemungkinan selepas pihak sekolah membawa keluar beberapa peralatan muzik lama yang disimpan dari salah sebuah bilik di sekolah tersebut.
“Memang berlaku kejadian histeria, tapi keadaan sudah kembali normal, dan sesi persekolahan pagi tadi dimulakan dengan bacaan Yasin serta azan sebelum pelajar meneruskan pembelajaran seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Astro AWANI ke sekolah berkenaan hari ini mendapati suasana sudah kembali tenang dan sesi persekolahan berjalan seperti biasa.
Dalam masa sama, Astro AWANI masih menunggu maklumat terkini daripada Jabatan Pendidikan Negeri.
#pelajar sekolah histeria #alat muzik lama #lembaga hitam #Kepala Batas
;