Alat mesin 'sealer' Hospital Sultanah Aminah terbakar

Astro Awani
September 10, 2017 09:51 MYT
Panggilan terhadap pihak bomba dibuat bagi tujuan kecemasan dan pemeriksaan lanjut untuk memastikan keselamatan di hospital itu tidak terjejas. - Foto Ihsan JBPM Johor
Satu kebakaran kecil berlaku melibatkan sebuah alat ‘machine sealer’ di Bilik Packing Dewan Bedah Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini petang semalam namun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan lain berlaku..
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata kejadian sekitar jam 3.50 petang itu disedari seorang jururawat yang ternampak percikan api dari mesin 'sealer' terbabit.
"Jururawat berkenaan ternampak api terpercik keluar daripada 'machine sealer' itu. Tindakan pemadaman api dilakukan serta-merta mengikut protokol sedia ada dan api dapat dipadamkan dengan segera," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Kata beliau lagi, panggilan terhadap pihak bomba dibuat bagi tujuan kecemasan dan pemeriksaan lanjut untuk memastikan keselamatan tidak terjejas.
Pihak bomba yang tiba jam 4 petang kemudiannya menasihatkan agar kawasan kejadian dikuarantin sehingga siasatan lanjut.
Sebagai langkah keselamatan, empat dewan bedah berdekatan ditutup buat sementara waktu.
"Bagaimanapun, perkhidmatan pembedahan yang sudah dirancang masih diteruskan seperti biasa menggunakan dewan bedah lain dan prosedur pembungkusan peralatan pembedahan masih boleh dijalankan dengan menggunakan ‘machine sealer’ lain," katanya lagi.
Kesemua dewan bedah mula beroperasi semula pagi ini.
#API #bomba #Hospital #kebakaran #keselamatan #machine sealer
;