Alangkah bagusnya kalau lebih ramai insan seperti ini
Ridauddin Daud
September 20, 2020 08:02 MYT
September 20, 2020 08:02 MYT
Matanya, hatinya sakit melihat sampah dibuang merata-rata di banyak kawasan sekitar ibu kota.
Justeru, lelaki ini mengambil keputusan berkayuh mengelilingi bandar, membawa plastik di belakang basikalnya dan mengutip sampah-sampah terutama pelitup muka di sekitar Kuala Lumpur.
Ini kisah Pengarah Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Rudy Irwan Shukaime.
Rutinnya bermula seawal 7 ke 8 pagi, biasanya pada hujung minggu, kadangkala sebelum dia pergi bekerja.
Di bawah pokok, di celah-celah motosikal, di sebelah kereta, semuanya dia akan pergi andai ternampak pelitup muka bersepah di sana.
Semuanya dilakukan secara sukarela, hanya kerana mahu melihat Kuala Lumpur yang lebih bersih.
“Kesedaran itu timbul selepas saya lihat terlampau banyak sampah, terutama pelitup muka, di Kuala Lumpur, memandangkan pelitup muka diwajibkan sekarang di tempat awam dan sesak.
“Itu adalah penemuan paling banyak. Jadi, daripada situ, saya mengambil keputusan untuk melakukan kerja ini secara sukarela supaya ada kesedaran di kalangan masyarakat,” katanya kepada Astro AWANI.
Memulakan kerja amal itu pada 31 Ogos lepas, sehingga kini sudah ratusan pelitup muka dikutipnya.
Katanya, sehari boleh jumpa berpuluh-puluh pelitup muka dibuang, kebanyakannya di tempat letak kereta, tepi jalan dan kawasan berhampiran kedai makan.
Sudah banyak kali dipaparkan cara membuangnya dengan betul namun masih ramai tidak mempraktikkannya, katanya kesal.
“Kita harus sama-sama menjaga kebersihan sebab ini tanggungjawab kita bersama, bukan saja tanggungjawab pekerja kebersihan, tetapi seluruh warga Malaysia.
“Kerana, ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan keselamatan, tetapi juga dari segi imej negara,” ujarnya.
Ternyata usahanya tidak sia-sia/ Selepas tular, kesedaran dilihat semakin meningkat malah ada kumpulan lain turut melakukan perkara sama sepertinya.
Beliau turut menitipkan nasihat ini buat semua rakyat Malaysia: “Tolong buang pelitup muka di tempat yang betul dengan cara yang betul. Itulah norma baharu yang sebenarnya,” katanya.
Baru-baru ini kisah Rudy Irwan tular di media sosial dan ramai warganet memuji semangatnya yang mengutip semua sampah itu secara sukarela.
#basikal
#berkayuh
#Bersih
#buang sampah
#hujung minggu
#kereta
#kerja amal
#keselamatan
#kesihatan
#Kuala Lumpur
#Kutip sampah
#Malaysia
#Matic
#norma baharu
#pelancongan
#pelitup muka
#Pusat Pelancongan Malaysia
#rakyat Malaysia
#Rudy Irwan Shukaime
#sampah
#sukarela