Alami suasana dua darurat, rahsia kubu perlindungan serangan udara di Muzium Darul Ridzuan
Aida Aziz
Januari 6, 2023 07:45 MYT
Januari 6, 2023 07:45 MYT
ANDA tidak perlu menjadi pengkaji atau pencinta sejarah untuk benar-benar menghayati kisah yang diabadikan di pameran Antara 2 Darurat, bertempat di Muzium Darul Ridzuan, Ipoh.
Melangkah masuk ke dalam muzium ini dan melihat sendiri maklumat dan tinggalan sejarah yang dipamerkan sudah cukup meruntun hati para pengunjung, termasuk menyemarakkan semula semangat patriotik berbilang bangsa.
Setiap perincian yang terpampang di dinding dan segenap bangunan ini juga menceritakan perjuangan serta pengorbanan pejuang dan pasukan beruniform mempertahankan negara daripada ancaman pengganas komunis.
Tidak terkecuali, bangunan muzium ini sendiri ada cerita dan sejarahnya tersendiri, ketika negara berdepan zaman darurat sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1948-1960 dan 1967-1989.
Di sini anda berpeluang melihat dengan lebih dekat kronologi peristiwa darurat, uniform dan senjata yang digunakan oleh pasukan polis sehinggalah kepada kekejaman pengganas komunis yang turut menyasarkan pasukan keselamatan.
Turut menarik perhatian, diorama atau replika adegan tentang kes pembunuhan Ketua Polis Perak, mendiang Tan Sri Khoo Chong Kong pada 13 November 1975.
Dari situ anda boleh membayangkan detik-detik kejadian tembakan di persimpangan lampu isyarat Jalan Ashby dan Jalan Fair Park, Ipoh yang mengakibatkan kematian mendiang dan pemandunya, Konstabel Yeong Peng Cheong.
Turut dipamerkan replika kenderaan rasmi yang dinaiki mereka iaitu kereta jenis Volvo 244.
Lebih sayu apabila anda boleh melihat sendiri uniform asal yang dipakainya ketika kejadian tersebut, masih jelas kesan darah dan tembakan pada pakaian.
Mengupas lebih lanjut berhubung pameran itu, Astro AWANI mendapatkan pandangan Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee.
"Pameran ini merupakan anjuran Lembaga Muzium Negeri Perak, Jabatan Muzium Malaysia dan Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ia sudah dilancarkan sejak Oktober tahun lalu.
"Orang ramai boleh melihat sejarah negara ketika zaman darurat, 1948 hingga 1989, ia lebih menumpukan kepada pasukan polis dan terbahagi kepada beberapa segmen.
"Antara yang menarik di sini seperti diorama pembunuhan Ketua Polis Perak, pakaian pasukan keselamatan dan peranan polis hutan," katanya.
Mengulas lanjut mengenai sejarah muzium, katanya bangunan itu dahulunya merupakan sebuah rumah yang dibina dan didiami seorang pengusaha lombong, Foo Choong Yit bersama keluarganya.
"Bangunan ini dibina pada tahun 1926 sebagai tempat kediaman, sebelum ia dijual kepada kerajaan negeri untuk dijadikan pejabat kerajaan dan hinggalah menjadi muzium sekarang.
"Mungkin ramai yang belum tahu, terdapat dua kubu perlindungan serangan udara milik persendirian, yang dibina pada 1941 oleh pemilik rumah iaitu Foo Choong Yit, ia terletak di bahagian tepi dan belakang muzium.
"Ia berfungsi sebagai tempat berlindung untuk keluarga pemilik serta para pekerjanya ketika Perang Dunia Kedua, termasuk semasa kapal terbang Jepun berlegar di udara pada 1941.
"Kalau di Ipoh terdapat beberapa kubu perlindungan udara yang masih wujud antaranya di bahagian bawah stesen keretapi serta di lapangan terbang Ipoh," katanya.
Ujarnya lagi, serangan udara oleh tentera Jepun di Ipoh pada 15 Disember 1941 menyaksikan seramai 18 orang terbunuh manakala 90 lagi cedera.
Dalam pada itu, Nor Hisham juga meletakkan harapan supaya lebih banyak promosi dan hebahan mengenai pameran sebegitu diuar-uarkan kepada umum.
Malah maklum balas yang diterima sebelum ini juga mendapati masih ramai yang tidak tahu bahawa muzium itu kembali dibuka kepada umum sejak Oktober tahun lalu.
"Apabila muzium ini dibuka semula, saya rasa kita perlu ketengahkan apa yang ada, untuk menjadi daya penarik orang ramai berkunjung ke sini, tambahan pula masuk percuma.
"Melihat kepada sambutan, ramai juga pengunjung pada waktu cuti atau hujung minggu. Apa pun, kita mahu lebih banyak promosi untuk pameran sebegini. Rugi kalau orang ramai tak ambil peluang ini," katanya.