Alam sekitar tanggungjawab kolektif semua pihak - JAS

Amirul Aiman
Oktober 10, 2024 13:30 MYT
Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2024 dijadualkan berlangsung pada 21 Oktober, dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web rasmi Jabatan Alam Sekitar.
KUALA LUMPUR: Tanggungjawab memelihara kesejahteraan alam sekitar perlu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi Strategik, Jabatan Alam Sekitar, Mohd Helmi Ahmad.
Menurut beliau, tugas ini bukan hanya terletak di tangan kerajaan, tetapi turut melibatkan sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), pelajar, dan komuniti setempat.
"Ini bukan tanggungjawab kerajaan sahaja. Setiap lapisan masyarakat, termasuk sektor industri dan komuniti, perlu memainkan peranan dalam memastikan kelestarian alam sekitar terjaga," jelasnya dalam wawancara di Awani Pagi pada Khamis.
Tambah beliau, pelbagai aktiviti melibatkan organisasi swasta dan industri harus dianjurkan bagi memastikan semua pihak mengambil serius tanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Mohd Helmi juga menyatakan bahawa tema "Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama" bagi Hari Alam Sekitar Negara 2024 kekal relevan dalam membentuk kesedaran kolektif mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.
Sejak dijenamakan semula pada 2016, sambutan Hari Alam Sekitar Negara telah berkembang daripada acara kesedaran kepada kempen komprehensif yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, katanya.
Sambutan tahunan ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran, malah menjadi platform untuk masyarakat bekerjasama dalam melindungi alam sekitar, tambah beliau.
Beliau berharap, dengan peningkatan penyertaan daripada pelbagai pihak, kesedaran tentang pemuliharaan alam sekitar akan terus berkembang.
Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2024 dijadualkan berlangsung pada 21 Oktober, dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web rasmi Jabatan Alam Sekitar.
#Hari Alam Sekitar Negara #alam sekitar #Jabatan Alam Sekitar
;