Alam Flora jangka kumpul 10 tan sampah pada sambutan Hari Kebangsaan
Bernama
Ogos 28, 2023 04:00 MYT
Ogos 28, 2023 04:00 MYT
PUTRAJAYA: Alam Flora Sdn Bhd menjangkakan mengurus 10 tan pelbagai jenis sampah semasa Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya, di sini, Khamis ini.
Pengurus Negeri Alam Flora Wilayah Persekutuan, Kuit Kheng Keong berkata, sebanyak 125 pekerja pembersihan, penyelia dan eksekutif operasi Alam Flora bersedia menjalankan tugas pembersihan seawal 5 pagi untuk memastikan kawasan sekitar kekal bersih dan pengunjung selesa menyaksikan perarakan dan perbarisan pada hari penting dalam kalendar negara itu.
"Kerja-kerja pembersihan dipecahkan kepada lapan subzon iaitu Zon 1 - kawasan perarakan utama, Zon 2 - Presint 3, Zon 3 - Bulatan Gemilang , Zon 4 - di hadapan Kementerian Kewangan, Zon 5 - Dataran Putra, Zon 6 - Lebuh Bestari , Zon 7 - Persiaran Perdana Presint 4 dan Zon 8 - Monumen Alaf Baru, Presint 2.
"Pekerja kami akan melakukan pelbagai kerja pembersihan seperti kutip sampah, pengosongan tong sampah dan menyapu kawasan sekitar di lapan subzon yang telah ditentukan," katanya kepada Bernama di sini pada Isnin.
Kuit berkata pihaknya menyediakan 700 unit tong sampah bergerak (MGB) pelbagai saiz untuk diletakkan di beberapa lokasi bagi memudahkan orang ramai membuang sampah.
"Apabila tong itu penuh, pekerja kami akan tarik tong MGB itu ke kawasan berpusat yang disediakan di setiap subzon dan mengosongkannya, sekali gus memastikan tiada limpahan sampah berlaku semasa sambutan berjalan.
"Kami juga ada unit khas yang bertanggungjawab mengasingkan sisa-sisa sampah yang boleh dikitar semula bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus dipelihara selain menyediakan tong roro sebagai sandaran untuk menampung sampah yang dihasilkan pengunjung dan peniaga, " katanya.
Beliau berkata selepas tamat perbarisan dan perarakan, kerja-kerja pembersihan tidak terhenti setakat itu sahaja, malah pekerja Alam Flora akan melaksanakan pembersihan pascasambutan seperti mencuci kawasan sekitar dan menghantar sampah yang dikumpulkan ke tapak pelupusan sampah Tanjung Dua Belas, Sepang.
Dalam pada itu, Kuit turut menasihati pengunjung supaya membuang sampah di tong yang disediakan dan melaksanakan amalan pengasingan sampah di punca dengan sampah yang boleh dikitar semula seperti botol, plastik dan kertas dibuang ke tong sampah khas yang disediakan.
Sementara itu, pekerja pembersihan Arrifin Biru, 50, berkata dia bersemangat untuk bertugas bersama rakan-rakannya semasa hari sambutan itu berlangsung.
"Ini cara saya menterjemahkan semangat patriotik dalam diri untuk negara. Walaupun saya tidak berjuang di medan perang, saya mahu Malaysia bersih daripada sampah yang boleh menjejaskan imej negara di mata dunia.
"Saya bangga dengan kerja ini sebab bagi saya negara bersih itu penting," katanya yang bertugas sebagai pemandu lori kompaktor Alam Flora.
-- BERNAMA