Alam Flora galak pengunjung bazar bawa beg guna semula demi kelestarian alam

Bernama
Mac 19, 2025 05:45 MYT
Shariman Yusuf (kiri) mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung bazar ramadan pada Majlis Kongsi Rezeki Alam Flora bersama Perbadanan Putrajaya (PPJ) sempena Festival Ramadan Putrajaya di Bazar Ramadan Presint 3, pada Rabu. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Alam Flora Sdn Bhd, anak syarikat Malakoff Corporation Bhd, menyeru orang ramai agar membawa beg guna semula dan bekas makanan sendiri ke bazar Ramadan untuk mengurangkan pembuangan sampah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata, sebagai peneraju dalam penyelesaian alam sekitar, Alam Flora akan meneruskan usaha mendidik orang ramai mengenai penggunaan beg guna semula sebagai sebahagian daripada inisiatif kelestarian dan alternatif kepada beg plastik, yang memberi kesan terhadap alam sekitar.
"Penggunaan beg plastik sekali guna memberi impak yang besar termasuk pencemaran dan kemusnahan ekosistem. Oleh itu, kami ingin mengajak orang ramai bersama-sama membudayakan amalan membawa beg guna semula sebagai langkah mudah untuk memastikan persekitaran yang lebih bersih dan sihat.
"Ia juga bagi memudahkan orang ramai untuk membuat perubahan positif dalam amalan harian mereka," katanya kepada media pada Program Kongsi Rezeki Alam Flora bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) sempena Festival Ramadan Putrajaya, di sini, pada Rabu.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud.
Shariman Yusuf berkata, sebagai langkah memberi didikan dan kesedaran secara berterusan, Alam Flora telah mengagihkan 350 beg guna semula dan 2,000 pek bubur lambuk di dalam bekas yang boleh guna semula kepada pengunjung di Bazar Ramadan, Presint 3, di sini.
"Usaha kecil oleh Alam Flora ini diharapkan dapat mencetus satu anjakan tabiat membeli-belah yang lebih lestari dan positif terhadap alam sekitar apabila kita kurangkan penggunaan beg plastik secara total," katanya.
Sementara itu, Fadlun berkata, sempena penganjuran Festival Ramadan Putrajaya, PPj meneruskan pelbagai program dan kempen kelestarian alam selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan Putrajaya sebagai peneraju bandar hijau karbon rendah dengan sasaran pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 60 peratus menjelang 2030.
Bertemakan 'Go Green' Bazar Ramadan Putrajaya, beliau berkata antara aktiviti yang diadakan Bazar Ramadan Bebas Tunai, Kempen Hindari Penggunaan Plastik Sekali Guna, Bawa Beg atau Bekas Sendiri, dan Guna Produk Bio-degradasi.
"Turut dilaksanakan Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai (Jom Bio-diesel) dan Kempen Pengurangan Sisa Organik Melalui Pengkomposan di Bazar Ramadan dengan kerjasama Alam Flora," katanya.
-- BERNAMA
#Alam Flora #bawa beg guna semula #Bazar Ramadan #bekas makanan
;