Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah simbol penyatuan rakyat dan takhta - Sultan Nazrin

Bernama
November 5, 2023 11:40 MYT
Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan berangkat ke Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-67, di Istana Iskandariah, hari ini. - Gambar Bernama
KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah membuktikan Raja Pemerintah bukan simbol perpaduan abstrak tetapi berperanan sebagai payung penyatuan dan pengikat antara rakyat, negara dan takhta.
Baginda bertitah, sifat Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ketika menyantuni rakyat bukan sahaja merapatkan hubungan rakyat dengan raja, malah meningkatkan penghargaan rakyat kepada institusi raja.
"... baginda (Al-Sultan Abdullah) buktikan semasa baginda bersama Raja Permaisuri Agong menjayakan program 'Kembara Kenali Borneo', bercemar duli berangkat mengadakan lawatan ke Sabah dan Sarawak selama 11 hari, pada 3 hingga 13 Sept 2023. Rakyat daripada pelbagai lapisan hidup berpanas, berhujan, membuktikan rasa kasih dan taat setia, menyambut keberangkatan baginda.
"Baginda berdua berperanan bagaikan ibu dan ayah kepada setiap rakyat Malaysia, sifat baginda berdua menyantuni rakyat bukan sahaja merapatkan hubungan rakyat dengan raja, malah memperkukuh hubungan Sabah dan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan, juga meningkatkan penghargaan rakyat kepada institusi raja," titah Sultan Nazrin.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 baginda di Istana Iskandariah, di sini, hari ini.
Berangkat sama ke istiadat itu Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Titah Sultan Nazrin, Al-Sultan Abdullah akan tercatat dalam sejarah menghadapi cabaran-cabaran berat yang tidak ada duluan ketika baginda bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
"Baginda (Al-Sultan Abdullah) berurusan dengan empat orang Perdana Menteri dan empat pasukan Jemaah Menteri, di samping memperkenankan lantikan tiga orang Perdana Menteri.
"Dalam tempoh pemerintahan baginda, dunia dilanda wabak COVID-19, yang memerlukan rakyat di negara ini dikenakan perintah kawalan pergerakan.
"Ketika berhadapan isu-isu penting negara, baginda telah mengamalkan budaya syura yang tinggi, menjemput Raja Pemerintah dari negeri-negeri untuk bermesyuarah mencari persefahaman dan kata sepakat dalam semangat gunung sama didaki - berat sama dipikul," titah Sultan Nazrin.
Sultan Nazrin bertitah, Raja Pemerintah juga terbukti berperanan sebagai kunci kestabilan negara dengan mencipta formula berimbang yang memanfaatkan institusi raja, kerajaan, rakyat dan negara sekali gus menghalang bertapaknya sebarang fahaman politik ekstrem.
Baginda bertitah, peranan itu terserlah melalui tindakan Al-Sultan Abdullah ketika suasana politik negara dilanda ketidaktentuan pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lepas, menyaksikan buat pertama kalinya Parlimen Malaysia tergantung disebabkan tiada gabungan politik boleh menubuhkan kerajaan.
"Ketika suasana politik negara dilambung gelombang ketidaktentuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mempamerkan kebijaksanaan, membantu mencari jalan penyelesaian terbaik dengan menzahirkan titah nasihat pada 22 Nov untuk dibentuk Kerajaan Perpaduan.
"Ternyata Raja berperlembagaan tidak sekadar pelengkap memenuhi adat, 'negara beraja - rakyat bersultan,' tetapi merupakan institusi yang mempunyai roh dan semangat sebagai instrumen semak dan imbang terakhir negara, berupaya menggunakan budi bicara, memberi kata putus ketika negara menemui jalan buntu," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, kuasa muktamad Yang di-Pertuan Agong juga telah membolehkan Perdana Menteri ke-10 mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov 2022 seterusnya membentuk kerajaan baharu sekali gus membolehkan kerajaan Perak ditubuhkan tiga hari pasca-PRU15 dalam keadaan Dewan Negeri tergantung.
Sultan Nazrin turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada Al-Sultan Abdullah yang akan menamatkan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Jan 2024.
"Atas nama takhta dan bagi pihak kerajaan dan rakyat negeri Perak Darul Ridzuan, beta menzahirkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Al-Sultan Abdullah begitu juga kepada Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah atas kebijaksanaan baginda berdua, mengangkat kemuliaan dan kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong.
"Semoga baginda berdua dilimpahi rahmat Ilahi dalam keadaan keafiatan, semoga segala amal yang disempurnakan, dikurniakan Ilahi ganjaran dunia - ganjaran akhirat," titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut menzahirkan kepercayaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 akan meneruskan kesinambungan yang selama ini menjadi pelindung amalan demokrasi, tiang seri keharmonian rakyat dan nadi perpaduan negara.
"Berasaskan pengalaman dan keprihatinan baginda terhadap rakyat jelata, dipercayai Sultan Ibrahim berupaya menyuntik roh dan tenaga kepada takhta pemerintahan kerajaan Persekutuan.
"Pendirian tegas dan konsisten baginda mengenai rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama serta menolak amalan perkauman, mementingkan amalan toleransi antara kaum dan kebebasan agama lain, pastinya memberikan jaminan dan keselesaan, bahawa rakyat pelbagai kaum dan pelbagai agama akan diberikan perlindungan dan layanan secara adil - secara saksama," titah Sultan Nazrin.
- BERNAMA
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah #simbol penyatuan rakyat #Sultan Nazrin Shah
;