Al-Sultan Abdullah tiba di ibu negara untuk istiadat lafaz sumpah jawatan

Astro Awani
Januari 31, 2019 01:57 MYT
Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diiringi Raja Muda Selangor melintasi kawalan Kehormat Setempat oleh Angkatan Tentera Malaysia sejurus tiba di KLIA hari ini. --fotoBERNAMA
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 9.10 pagi.
Ketibaan Seri Paduka berdua disambut Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Almarhum Sultan Salahuddin.
Seri Paduka kemudiannya melintasi pasukan Kawalan Kehormat Setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja dari Kem Wardieburn Kuala Lumpur.
Dilaporkan, rombongan kerabat diraja Pahang memasuki ke dalam Istana Negara sekitar jam 9.45 pagi.
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini bagi tempoh lima tahun.
#Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur #Sultan Pahang #Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri ayatuddin Al-Mustafa Billah #Yang di-Pertuan Agong