Al-Sultan Abdullah sangat berhemah, tenang ketika buat keputusan semasa krisis politik
Bernama
Januari 29, 2024 09:15 MYT
Januari 29, 2024 09:15 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sangat berhemah dan tidak tergopoh-gapah ketika membuat keputusan berhubung krisis politik sepanjang lima tahun pemerintahan baginda.
Penasihat Undang-Undang Yang di-Pertuan Agong, Datuk Abdul Rahman Putra Taha berkata, Al-Sultan Abdullah terserlah dengan kewibawaan baginda yang sentiasa tenang menghadapi kemelut politik dan krisis Perlembagaan.
"Saya berasa begitu bertuah dan bernasib baik secara peribadi... dan saya merasakan memang Allah SWT telah memilih Al-Sultan Abdullah untuk berada bersama kita ketika negara menghadapi krisis.
"Tuanku berhemah sekali, walaupun ada yang mengkritik, Tuanku berbincang dan menjemput Raja-Raja Melayu dan itulah kekuatan Tuanku yang sebenarnya.
"Setelah mendapat pandangan dan bermusyawarah, Tuanku akhirnya membuat keputusan Tuanku sendiri. Itu yang pentingnya, baginda membuat keputusan selepas mendapatkan semua fakta dan angka serta maklumat yang diperlukan," katanya.
Selaku individu paling dekat dengan Al-Sultan Abdullah berkaitan hal-hal perundangan, beliau menyifatkan Seri Paduka sebagai pemimpin yang tepat bagi mengemudi negara ketika berdepan pelbagai krisis pentadbiran.
Abdul Rahman juga berkata, kewibawaan Al-Sultan Abdullah menjadi pencetus idea penerbitan e-buku bertajuk Test of A King yang dilancarkan di Istana Negara, pada Ahad.
E-buku 66 muka surat itu berkisar tentang kebijaksanaan dan dedikasi baginda dalam mengharungi serta mengemudi negara melalui pelbagai cabaran semasa ketidaktentuan politik.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif pula berkata Seri Paduka telah membuat keputusan yang tepat berkaitan pelantikan Perdana Menteri kelapan hingga kesepuluh.
"Apa yang Tuanku lakukan dalam pelantikan Perdana Menteri adalah konsisten dengan apa yang telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan sebelum ini dalam kes Datuk Zambry Abd Kadir melawan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, dan saya adalah seorang daripada hakim yang terlibat.
"Saya amat bertuah kerana dipelawa untuk menyumbang satu artikel dalam e-buku Tuanku," katanya.
Bagi bekas Presiden Badan Peguam Malaysia (2011-2013), Datuk Lim Chee Wee, jemputan untuk menjadi antara penulis e-buku itu adalah satu penghormatan dan memberi peluang kepada beliau merumuskan kebijaksanaan Tuanku dari sudut pandangan seorang peguam.
"Ini adalah ringkasan paling menarik yang pernah saya berikan mengenai pemerintahan Tuanku dan pengajaran yang kita boleh dapat daripada baginda.
"Seperti yang telah saya nyatakan dalam artikel itu, perkara seperti ini belum pernah berlaku dan keputusan Seri Paduka menjadi duluan yang bakal menjadi ikutan raja-raja di negara kita pada masa akan datang," katanya.
Al-Sultan Abdullah akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan ini dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Jan. - BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#Agong Kita
#krisis politik