Al-Sultan Abdullah, Permaisuri Agong berangkat ke majlis bacaan Yasin sempena Hari Keputeraan
Nursyazwani Saiful Sham
September 5, 2019 21:28 MYT
September 5, 2019 21:28 MYT
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menghadiri majlis bacaan Yasin dan doa selamat, malam ini sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Tuanku pada Isnin depan.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama, beberapa menteri kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa selain Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad.
Majlis yang bermula selepas solat Maghrib berjemaah itu dimulai dengan bacaan Yasin diikuti bacaan doa selamat.
Tuanku berdua kemudiannya menunaikan Solat Isyak berjemaah.
Pasangan diraja itu turut berkenan bersalaman dan beramah mesra dengan jemaah di situ sebelum berangkat meninggalkan majlis pada jam 9 malam.
Majlis ini adalah sebahagian daripada acara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Abdullah sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.
Ini diikuti khutbah khas dan solat Jumaat yang juga akan berlangsung di Masjid Negara esok.
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#Masjid Negara
#Raja Permaisuri Agong
#Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
#Yang di-Pertuan Agong
#yassin