Al-Sultan Abdullah berangkat melawat Galeri Padi di Sekinchan
Bernama
Januari 5, 2024 17:15 MYT
Januari 5, 2024 17:15 MYT
SEKINCHAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke Galeri Padi dan Pusat Jualan Beras di sini.
Keberangkatan tiba baginda pada 10 pagi disambut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Galeri Padi yang dibina dalam kilang memproses padi milik PLS Marketing (M) Sdn Bhd menjadi tarikan para pelancong bagi mendalami ilmu dan sejarah penanaman padi tempatan.
Pada program yang sama, Seri Paduka turut berkenan mencuba mengendalikan mesin menuai dan menanam padi.
Selesai program berkenaan, baginda berkenan berangkat melawat bangunan kilang baharu milik PLS setinggi lima tingkat dan meninjau keindahan pemandangan sawah padi dan sekitarnya dari atas bumbung bangunan itu.
Al-Sultan Abdullah juga berkenan mewakili kerajaan negeri Pahang bagi menerima sumbangan beras sebanyak 10 metrik tan daripada PLS untuk mangsa bencana di Pahang.
-- BERNAMA