Al-Sultan Abdullah angkat sumpah Agong ke-16 hari ini
Bernama
Januari 30, 2019 07:00 MYT
Januari 30, 2019 07:00 MYT
Al-Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini bagi tempoh lima tahun.
Istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan yang akan diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-252 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara akan turut menyaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.
Di hadapan sultan dan raja Melayu, kerabat diraja serta dif-dif kenamaan, Sultan Abdullah akan menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan, yang isi kandungannya dibacakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dijadual berangkat dari Istana Abdulaziz, Kuantan pada 7.00 pagi ke ibu negara bagi menghadiri istiadat berkenaan.
Istiadat Keberangkatan Tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 akan bermula di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 8.30 pagi.
Rombongan diraja kemudian akan berangkat ke Dataran Parlimen bagi acara sambutan rasmi sebelum ke Istana Negara untuk istiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan.
Al-Sultan Abdullah menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan pada 6 Jan lepas.
-- BERNAMA
#Al-Sultan Abdullah
#angkat sumpah
#Istana Negara
#jawatan
#Kuala Lumpur
#Kuantan
#Mahathir Mohamad
#Pahang
#Parlimen
#Sultan Pahang
#Sumpah
#surat perisytiharan
#Yang di-Pertuan Agong