Al-Quran suntik kekuatan spiritual, emosi depani COVID-19
Sinar Harian
April 14, 2020 11:27 MYT
April 14, 2020 11:27 MYT
Sumbangan wakaf al-Quran melalui Program Wakaf Quran Mu'jam menyuntik kekuatan spiritual dan emosi kepada para petugas barisan hadapan dan pesakit untuk terus mendepani tekanan akibat pandemik koronavirus (Covid-19) ketika ini.
Kakitangan dan pesakit dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan Institut Kanser Negara (IKN) turut memanfaatkan sepenuhnya sumbangan wakaf al-Quran masing-masing berjumlah 160 naskhah untuk pengisian kerohanian serta rawatan penyembuhan emosi.
Ketua Unit Hal Ehwal Islam IKN, Madya Madon berkata, pihaknya memuji usaha agihan al-Quran wakaf digerakkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dari Kumpulan Karangkraf yang ternyata memberi kekuatan dalaman kepada petugas IKN dan pesakit.
Menurutnya, sejumlah 160 naskhah al-Quran diterima IKN ditempatkan di 28 surau dan bilik solat serta troli ibadah di wad-wad bagi kegunaan pesakit dan kakitangan.
"IKN menzahirkan ucapan terima kasih kepada para penyumbang wakaf al-Quran melalui WUIF kerana sumbangan itu ternyata memberi impak positif menaikkan semangat kakitangan dan pelanggan di sini.
"Usaha agihan sumbangan al-Quran dilakukan orang ramai ini perlu dipuji kerana proses pemulihan dan pengurusan individu dalam menghadapi penyakit harus mengambil kira aspek spiritual dan emosi," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam HTAR Klang, Harun Abdul Halim berkata, sebanyak 160 naskhah al-Quran wakaf yang diterima hospital itu diedar kepada 54 jabatan untuk kegunaan kakitangan dan ke 33 wad untuk kegunaan pesakit.
Bertepatan konsep Hospital Mesra Ibadah (HMI), beliau menegaskan, setiap wad ada kit ibadah dan wakaf al-Quran diletakkan di situ.
"HMI juga ada menganjurkan Pertandingan Sudut HMI dan jabatan, unit, wad yang telah wujudkan Sudut HMI, al-Quran wakaf akan diletakkan juga di Sudut HMI@Quran Time Corner untuk kegunaan bersama.
"Program QuranHour turut diadakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara siaran langsung melalui Facebook rasmi FB HTAR dengan 20 orang terpilih sahaja mengikutinya di Auditorium Permata HTAR dengan mengambil kira aspek penjarakkan sosial.
"Program itu turut dihadiri Pengarah HTAR, Dr Hasni Hanapi dan dianjurkan bersempena memartabatkan al-Quran, mengeratkan silaturahim serta menggantikan ibadah solat Jumaat yang terpaksa ditangguhkan berikutan penularan Covid-19," katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang sebagai pewakaf al-Quran boleh mendaftar di bit.ly/wakafquranhospital.
Bayaran wakaf sebanyak RM45 senaskhah boleh dibuat kepada Warisan Ummah Ikhlas Foundation melalui nombor akaun Maybank Islamic 564276516031 dengan rujukan Wakaf Quran.
#Al-Quran
#COVID-19
#emosi
#Hospital Tengku Ampuan Rahimah
#Institut Kanser Negara
#kekuatan spiritual
#kuarantin
#pengisian rohani
#penyembuhan
#QuranHour
#QuranTime
#sumbangan
#wakaf
#Warisan Ummah Ikhlas Foundation
#WUIF