Al-Madinah Al Husna di Sibu Jaya masjid pertama guna mozek seramik tempatan

Bernama
Mac 1, 2024 07:30 MYT
Masjid Al-Madinah Al Husna di Bandar Baru Sibu Jaya dirasmikan oleh Abang Johari semalam. --fotoBERNAMA
SIBU: "Kacak gilak (sangat indah)," itu ungkapan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari sewaktu merasmikan Masjid Al-Madinah Al Husna di Sibu Jaya di sini semalam.
Masjid itu, yang siap dibina pada Oktober tahun lepas hasil kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak dan Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak sejak Ogos 2019 dengan kos kira-kira RM32 juta, adalah yang pertama di Malaysia menggunakan reka bentuk mozek seramik tempatan dengan motif bunga disepadukan ke dalam reka bentuk satu dimensi seratus peratus buatan tangan.
Menjadi kebanggaan kira-kira 5,000 penduduk Islam di Sibu Jaya, masjid itu memiliki reka bentuk luaran yang unik serta berbeza berbanding masjid lain manakala reka bentuk dalaman diperindah dengan budaya dan unsur-unsur etnik Sarawak.
Selain menggunakan teknologi baharu, masjid itu mengekalkan kehijauan alam sekitar.
"Dengan penggunaan konsep Taman Firdaus yang menonjolkan kelestarian alam, menjaga kehijauan dan keindahan sekitar, masjid ini akan menjadi lambang harmoni antara pelbagai kaum, menegaskan identiti unik Sibu Jaya sebagai sebuah komuniti yang padu," katanya pada majlis perasmian masjid itu selepas Solat Jumaat.
Pembinaan masjid tersebut yang bermula pada 2019 di tapak seluas 1.82 hektar tergendala seketika semasa negara dilanda COVID-19 sebelum disambung semula selepas itu dan kini menjadi antara mercu tanda pembangunan di Sibu Jaya.
Masjid itu dilengkapi ruang solat yang boleh memuatkan 3,210 jemaah (tingkat bawah dan atas) pada satu-satu masa tidak termasuk kawasan di luar ruang solat selain tempat wuduk, tandas, parkir kereta sebanyak 250 unit dan motosikal sebanyak 35 unit serta dewan serba guna dengan kapasiti 600 orang.
Abang Johari turut mengingatkan masyarakat Islam di Sibu Jaya untuk memanfaatkan sepenuhnya masjid itu bukan sekadar menunaikan ibadah semata-mata sebaliknya meningkatkan ilmu pengetahuan dalam Islam dan pembangunan individu serta ummah secara keseluruhan.
-- BERNAMA
#masjid #Sarawak #mozek seramik tempatan #Masjid Al-Madinah Al Husna
;