'Al-Fateh tunggu 'mommy' di syurga ya'
Sinar Harian
September 9, 2024 14:16 MYT
September 9, 2024 14:16 MYT
ALOR GAJAH: "Al Fateh tunggu mommy dekat syurga ya," Itulah ucapan terakhir Sabrina Hakiem Zaini, 39, ketika melihat bayi sulungnya dirawat di wad kecemasan Hospital Alor Gajah.
Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri yang berusia lapan bulan meninggal dunia ketika berada dalam jagaan pengasuh di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Kelemak Utama pada pagi Jumaat.
Kisah itu diceritakan kepada Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Datuk Kalsom Noordin yang menziarahi Sabrina dan suaminya Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, di kediaman mereka di Taman Kelemak Utama, Sabtu lalu.
Menurut Kalsom, bisikan terakhir itu diluahkan oleh Sabrina ketika dipanggil membacakan kalimah syahadah di wad berkenaan selepas mendapati bayi lelaki kepada pasangan suami isteri tidak dapat diselamatkan.
Beliau berkata, Sabrina terkejut apabila dia dihubungi pihak taska mengatakan wajah bayinya sudah bertukar kebiruan kira-kira jam 9 pagi dan segera bergegas ke taska berkenaan yang terletak di belakang rumahnya.
Tambahnya, sebaik tiba, Sabrina terus memangku dan memegang badan Al Fateh yang berada dalam keadaan terkulai, sejuk selain terdapat darah keluar dari hidung.
"Mereka berikan anak (Al-Fateh) kepada Sabrina dan suruh dia segera ke klinik. Tapi Sabrina terus ke hospital dan di hospital penyelia taska ada datang dan tanya kenapa dengan anaknya. Dia hanya kata bayi menyusu dan tidur kemudian (bertukar) biru," katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, mendakwa selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bersama polis dia kemudian mempersoalkan tindakan pengasuh yang meletakkan bantal selepas membedung bayinya yang telah pandai merangkak.
"Pengasuh hanya diam dan kemudian menangis dan mengaku salah, saya kata kepadanya, ini kau nak bunuh, selepas itu terus dia mengaku salah," katanya.
Sinar Harian pada Jumaat lalu melaporkan betapa hancurnya hati pasangan suami isteri itu apabila zuriat yang ditunggu selama 13 tahun maut di taman asuhan kanak-kanak (taska) dalam keadaan menyayat hati pada pagi Jumaat.
Lebih menyedihkan, Muhammad Al Fateh Amri baharu lima hari dihantar ke taska berkenaan memandangkan cuti tanpa gaji yang diambil isterinya hampir tamat.
Bapa mangsa, Mohd Fikry Amri yang berkhidmat di Kem Perdana Sungai Besi turut meluahkan rasa terkilan dan sedih kerana mangsa didakwa dibedung, disumbat botol susu, tutup dengan kain dan tekup dengan bantal oleh suspek.
Ujarnya, tindakan tidak berperikemanusiaan pengasuh di taska itu terhadap bayinya itu dilihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan itu bersama pihak polis. -- Sinar Harian