Al Fateh maut di taska: Tiada aduan pengasuh dera anak sendiri
Shuhada Abdul Kadir
September 9, 2024 17:33 MYT
September 9, 2024 17:33 MYT
ALOR GAJAH: Seorang wanita yang ditahan selepas disyaki membunuh bayi lapan bulan Muhamad Al Fateh Amri Mohd di sebuah taska di sini, Jumaat lalu tidak terkait dengan sebarang aduan penderaan fizikal terhadap tiga anaknya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya setakat ini juga belum memanggil suami suspek bagi membantu siasatan.
“Setakat ini tiada (laporan penderaan terhadap anak-anak suspek)," jawabnya ringkas ketika dihubungi di sini, hari ini.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan suspek yang berusia 34 tahun dan berasal dari Endau, Johor direman tujuh hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ashari dilaporkan berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan memaklumkan seorang bayi lelaki berusia lapan bulan tidak sedarkan diri di sebuah taska di Taman Kelemak Utama.
Suspek yang mempunyai tiga anak berusia dua, enam dan lapan tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di taska berkenaan kira-kira 3.30 petang Jumaat di taska berkenaan.
Bapa bayi berkenaan, Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, turut dilapor berkata pihak taska menghubungi isterinya memaklumkan anak tunggalnya itu tidak sedarkan diri.
Anaknya yang baru dihantar ke taska berkenaan sejak lima hari lalu didapati berada dalam keadaan terkulai, mulut berdarah dan muka kebiru-biruan.
Menerusi sistem kamera litar tertutup (CCTV) pengasuh yang ditahan berkenaan dilihat membedung, menyumbat botol susu menutup dengan kain dan menekup muka bayi tersebut dengan bantal.
#Muhamad Al Fateh Amri Mohd
#penderaan fizikal
#pengasuh didakwa didera pengasuh
#Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim
#terkini