'Aku panggil jate rogol mu ramai-ramai'
Sinar Harian
September 27, 2018 16:21 MYT
September 27, 2018 16:21 MYT
Seorang peniaga dalam talian didenda RM2,500 di mahkamah majistret kerana mengugut seorang wanita yang mempunyai hubungan sulit dengan suaminya.
Majistret, Kamarul Hasyime Rosli menjatuhkan hukuman itu selepas Nur Eznie Syarmimy Ab Aziz, 25, mengaku bersalah terhadap pertuduhan didakwa ke atasnya.
Beliau turut mengarahkan Nur Eznie Syarmimy menjalani hukuman penjara tambahan empat bulan jika denda gagal dijelaskan.
Ibu kepada seorang bayi berusia setahun itu didakwa mengugut Nuraziera Awang, 21, dengan berkata, Kalau mu tok sey (tidak mahu) bagi buka baju, aku panggil sek jate (kumpulan lelaki) bawah mari atas rogol mu ramai-ramai. Jika mu lawan, aku akan boh (letak) dadah dalam bilik ni, lepas tu panggil polis bagi mu kena tangkap”.
Ugutan itu dilakukan Nur Eznie Syarmimy di sebuah bilik hotel di Jalan Dusun Muda antara jam 7 malam dan 8.45 malam pada 31 Ogos lalu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Faizuan Sulaiman, manakala pesalah diwakili peguam, Mohd Faizal Hazim Abdul Rahman.