Aktiviti seludup haiwan secara haram dari JB ke Singapura masih 'ligat'

Agensi
Februari 5, 2023 12:42 MYT
Lazimnya, anjing atau kucing yang dibawa masuk ke Singapura perlu melalui proses import yang ditetapkan pemerintah republik itu, termasuk kuarantin, bergantung pada negara asal mereka. - Unsplash
JOHOR BAHRU: Penjual haiwan peliharaan di Johor Bahru dilaporkan sanggup mengetepikan ketetapan undang-undang demi memenuhi permintaan pencinta anjing atau kucing di seberang tambak.
Channel NewsAsia (CNA) mendedahkan, terdapat perkhidmatan menjual haiwan di Johor Bahru yang memungkinkan haiwan-haiwan itu dimiliki, dengan kos yang lebih rendah berbanding pembelian di Singapura.
Menerusi laporan khasnya, wakil CNA telah ke premis yang menjual puluhan anak anjing jenis baka poodle, pomeranian, corgi, chow chow dan bulldog Perancis dan shiba inu. Harga yang ditawarkan adalah antara RM2,000 bagi seekor baka pug hingga RM6,000 untuk baka chow chow.
Difahamkan, anjing bukan satu-satunya haiwan peliharaan yang tersedia dengan harga murah di seberang tambak, malah kucing dan beberapa hidupan liar lain boleh dibeli.
Umum tahu bahawa aktiviti membawa masuk haiwan peliharaan ke Singapura, termasuk spesies eksotik lain seperti ular, landak dan sugar glider merupakan satu jenayah sekiranya tidak disertai permit yang sah.
Lazimnya, anjing atau kucing yang dibawa masuk ke Singapura perlu melalui proses import yang ditetapkan pemerintah republik itu, termasuk kuarantin, bergantung pada negara asal mereka. Jika dari Malaysia, prosesnya mengambil masa sekurang-kurangnya 30 hari.
Walau bagaimanapun, beberapa peniaga menjual haiwan peliharaan di Johor Bahru dilaporkan sanggup 'bekerjasama' dengan pelanggan untuk ‘memintas’ proses itu.
Wakil CNA telah menyamar ke lima kedai haiwan peliharaan di Johor Bahru, menyamar sebagai bakal pelanggan dari Singapura. Kesemua penjual bersetuju mengatur supaya haiwan peliharaan dihantar secara haram ke Singapura jika pembeli tidak sanggup menunggu atau membayar proses imigresen yang sepatutnya.
Terdapat peniaga yang menjelaskan, wujud pihak luar untuk membantu dalam aktiviti penghantaran haram itu daripada proses mengambil hingga menyelinap melintasi sempadan dengan kenderaan dan menghantarnya ke rumah pelanggan di Singapura.
Selepas pembayaran pertama dibuat, kedai haiwan peliharaan akan menguruskan penghantaran kurier jika pelanggan memilih untuk tidak mengikut saluran rasmi yang ditetapkan.
Difahamkan, kos bayaran pendahuluan kepada pelanggan adalah tinggi. Anak anjing dan anak kucing seawal usia empat minggu biasanya berharga beberapa ratus dolar Singapura di Malaysia.
Kedai haiwan yang terlibat dalam tinjauan melaporkan kos bermula antara S$1,200 (RM3,860) hingga S$2,300 (RM7,399) bagi setiap penghantaran haram malah harga dicaj dalam dolar Singapura.
Beberapa pengusaha kedai memaklumkan harga itu sesuai dengan tahap risiko tinggi yang dihadapi kerana menyeludup.
Sementara itu, pihak berkuasa Singapura menegaskan bahawa aktiviti import ke negara itu memerlukan kelulusan daripada Lembaga Taman Negara (NParks).
Tambah pihak NParks, Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu kenyataan, haiwan yang dibawa masuk ke negara itu wajib mendapat vaksinasi, mesti disahkan sihat, tidak mempunyai gejala penyakit berjangkit dan cergas untuk perjalanan.
#haiwan peliharaan #Singapura #Johor Bahru #seludup haiwan
;