Aktiviti selam skuba sebagai kaedah terapeutik bagi OKU

Bernama
Ogos 31, 2019 06:00 MYT
DiveHeart adalah sebuah organisasi bukan bermotifkan keuntungan yang berpangkalan di Chicago, Amerika Syarikat dan ia khusus membantu golongan OKU dalam aktiviti penyelaman skuba. - Gambar hiasan/Unsplash
Akiviti selam skuba kini digunakan sebagai sukan air santai dan kaedah terapeutik oleh sekumpulan kecil orang kelainan upaya (OKU) dalam menjalani proses pemulihan masing-masing.
Duta DiveHeart Malaysia dan Pengasas Pusat Selam Skuba Kanak-Kanak, Syed Abd Rahman Syed Hassan, berkata DiveHeart Malaysia, yang dimulakan pada 2014, telah membantu dan melatih lebih 30 individu yang mempunyai kecacatan fizikal tertentu.
"Pada awal, kami bermula dengan dua penyelam OKU yang disyorkan oleh doktor dan profesor dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan kemudian jumlah tersebut meningkat sejak beberapa tahun lalu.
"Menerusi program dua kali setahun itu, seperti lawatan ke Pulau Tioman di Pahang, Bidong di Terengganu, Mabul dan Sipadan di Sabah, kami menunjukkan kepada golongan ini bahawa ada dunia yang lebih luas di luar sana untuk diterokai," katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif dengan Bernama sempena Pameran Pendidikan Khas Antarabangsa 2019, pada Sabtu.
DiveHeart adalah sebuah organisasi bukan bermotifkan keuntungan yang berpangkalan di Chicago, Amerika Syarikat dan ia khusus membantu golongan OKU dalam aktiviti penyelaman skuba.
DiveHeart, yang beroperasi sejak tahun 2000, telah membantu banyak komuniti seperti golongan cacat pendengaran dan penglihatan, kehilangan anggota badan dan veteran perang yang mengalami kecederaan saraf tunjang.
Di Malaysia, organisasi ini dibantu oleh Kids Scuba, sebuah pusat milik persatuan pakar selam profesional, di Kajang, Selangor, yang menyediakan kemudahan termasuk peralatan menyelam.
Kedua-dua organisasi ini membantu melatih komuniti OKU dalam aktiviti selam skuba di sekitar Malaysia.
Ditanya mengapa aktiviti selam skuba menjadi tarikan kepada golongan OKU, Syed Abd Rahman berkata aktiviti tersebut disyorkan oleh pakar kesihatan sebagai proses pemulihan dan latihan terapeutik khusus kepada mereka yang mengalami kecederaan sarah tunjang.
"Berdasarkan maklum balas ramai pesakit saraf tunjang yang dilatih, mereka amat seronok apabila berada dalam air kerana dapat mengurangkan kesakitan neuropatik dan kesakitan mereka hilang untuk jangka waktu satu hingga dua minggu," katanya.
Beliau berkata bulan September ini, mereka akan membawa sekumpulan kanak-kanak sekolah yang menghadapi masalah pendengaran di Besut, Terengganu ke Pulau Perhentian, Terengganu, untuk mereka merasai pengalaman menerokai keindahan laut dalam.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai DiveHeart dengan melayari laman sesawang di www.Diveheart.org atau www.kidsscuba.com
-- BERNAMA
#air #Besut #Kanak-kanak #kesihatan #Malaysia #Pahang #perubatan
;