Aktiviti rentas negeri mungkin disalah guna sesetengah pihak - Ketua Polis Kedah

Bernama
Oktober 18, 2021 12:47 MYT
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat bersama anggotanya melaksanakan Operasi (Op) Patuh malam tadi. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR: Polis Kedah akan meningkatkan operasi khususnya di kawasan pintu sempadan susulan kebenaran aktiviti rentas negeri dan pembukaan sektor ekonomi yang memungkinkan kelonggaran ini disalah guna sesetengah pihak untuk menjalankan aktiviti jenayah dan aktiviti tidak sihat.
Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata sepanjang beberapa siri Op Pintu, Op Kesan dan Op Tapis bermula pada 12 Okt hingga semalam (17 Okt), polis berjaya membuat 103 tangkapan dan merampas 70 barangan kes pecah rumah bernilai hampir RM500,000.
"Polis juga menahan 151 individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan daripada jumlah itu, sembilan orang ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang media selepas Operasi (Op) Patuh dan memeriksa kenderaan di sekatan jalan raya (SJR) di sini malam tadi.
Beliau berkata polis Kedah menjalankan beberapa operasi melalui Op patuh sejak 12 Okt lepas dalam usaha memastikan keselamatan dan keamanaan negara ini terus terpelihara susulan kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri mulai 11 Okt lepas.
"Pihak polis ingin menasihati orang ramai, walaupun kebenaran rentas negeri telah dibenarkan oleh kerajaan, SOP (prosedur operasi standard) dan norma baharu perlu diteruskan dan diamalkan kerana kita masih bergelut dengan wabak pendemik COVID-19," katanya.
Mengenai Op Patuh selama tiga jam bermula 10.30 malam tadi di sebuah pusat hiburan di sini, Kamarul Zaman berkata seramai 21 pelanggan berumur antara 20-an hingga 40-an, termasuk enam wanita dikompaun antara RM2,000 hingga RM5,000.
Katanya, kesemua mereka didapati melanggar SOP di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua yang tidak membenarkan pusat hiburan beroperasi dan pelanggan ini juga ada yang tak mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera serta tidak divaksin.
Turut dikompaun ialah pemilik dan dua pekerja pusat hiburan berkenaan berumur antara 30-an hingga 50-an termasuk seorang lelaki warga Myanmar yang mendakwa dirinya pemegang kad UNHCR dan belum lengkap vaksin.
Kamarul Zaman berkata kesemua tahanan pusat hiburan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri untuk menjalani ujian saringan air kencing.
Sementara itu mengenai jenayah indeks di Kedah, beliau berkata negeri ini merekodkan penurunan 179 kes atau 5.51 peratus kes jenayah dalam tempoh 1 Jan hingga 16 Okt lepas berbanding 3,247 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Katanya Kedah merekodkan 3,068 kes jenayah indeks untuk tempoh sama pada tahun ini.
-- BERNAMA
#SOP #SJR #Ketua Polis Kedah #Kamarul Zaman Mamat
;