Aktiviti rasmi, tidak rasmi kerajaan, swasta di kawasan PKP masih tidak dibenarkan

Astro Awani
Februari 18, 2021 20:15 MYT
Ismail Sabri memaklumkan PKPD di Sekolah Menengah Sultan Idris Shah 2, Gerik, Perak dilanjutkan bermula 20 Feb hingga 1 Mac. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Penganjuran bengkel, kursus, latihan, ceramah dan aktiviti berkaitan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan (PKPP) dan PKP Bersyarat (PKPB), kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri berkata ia dibenarkan pada had 50 peratus kehadiran peserta berdasarkan kapasiti premis serta mematuhi syarat penjarakan fizikal satu meter.
Bagaimanapun, di negeri-negeri yang dilaksanakan PKP aktiviti-aktiviti tersebut masih tidak dibenarkan.
Beliau juga menjelaskan, bagi majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan serta swasta, dan majlis sosial seperti perkahwinan, pertunangan, resepsi, akikah, tahlil dan sambutan kelahiran di kawasan PKP masih tidak dibenarkan.
Namun bagi kawasan PKPB, ia dibenarkan dengan had kehadiran tetamu sebanyak 50 peratus mengikut kapasiti premis dan mematuhi penjarakan fizikal, sementara di kawasan PKPP adalah dibenarkan dengan syarat ada penjarakan fizikal.
"Bagi majlis perkahwinan di kawasan terbuka seperti di kampung contohnya, yang disyaratkan adalah mesti ada penjarakan fizikal dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara termasuk memakai pelitup muka, menyediakan QR Code dan buku kehadiran tetamu," katanya.
Beliau juga berkata berkaitan sektor pendidikan dan sukan, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan akan membuat pengumuman berhubung aktiviti dan SOP masing-masing sepanjang pelaksanaan PKP, PKPB dan PKPP.
Katanya kerajaan juga bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Sebako 1 dan 2 di Lundu, Sarawak esok seperti dijadualkan manakala PKPD di Sekolah Menengah Sultan Idris Shah 2, Gerik, Perak dilanjutkan bermula 20 Feb hingga 1 Mac.
#ismail sabri yaakob #PKP #PKPB #PKPP #kursus #acara rasmi
;