Aktiviti persundalan di sebalik hotel, 14 tukang urut dicekup

Sinar Harian
Ogos 9, 2018 13:59 MYT
Polis berkata, operasi kira-kira jam 9 malam itu berjaya menahan seramai 14 wanita warga asing berusia lingkungan 20 hingga 30-an.
Beroperasi secara sembunyi-sembunyi di sebuah hotel terkemuka di Seri Kembangan dengan menjalankan aktiviti persundalan.
Namun, modus operandi sindiket itu berjaya dibongkar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dalam serbuan Ops Noda, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, operasi kira-kira jam 9 malam itu berjaya menahan seramai 14 wanita warga asing berusia lingkungan 20 hingga 30-an.
"Pemeriksaan mendapati wanita yang bekerja sebagai tukang urut ini merupakan warga Indonesia (4 orang), Vietnam (6 orang) dan Thailand (4 orang).
"Turut ditahan adalah tiga lelaki tempatan dipercayai pekerja premis selain rampasan beberapa barang seperti tuala, minyak urut, kondom dan pasport," katanya dalam sidang media di IPD Serdang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut taktik sindiket, beliau mendedahkan, sindiket yang aktif di hotel terkenal ini berselindung di sebalik premis spa dengan menjalankan kegiatan pelacuran.
Katanya, dengan harga kira-kira RM200 hingga RM500, pelanggan ditawarkan dengan pakej tertentu seperti urutan dan khidmat 'tambahan'.
"Siasatan juga mendapati premis ini telah aktif sejak kira-kira dua bulan lalu," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63.
#aktiviti persundalan #IPD Serdang #Ops Noda #pelacuran #Serdang #Seri Kembangan #sindiket #tukang urut #warga Indonesia #warga Thailand #warga Vietnam
;