Aktiviti perniagaan GISB di seluruh negara lumpuh

Bernama
September 27, 2024 21:45 MYT
Aktiviti perniagaan melibatkan GISB di dalam negara dipercayai telah lumpuh susulan serbuan besar-besaran oleh PDRM menerusi Op Global Fasa 1 hingga Fasa 4 bermula awal bulan ini. - Gambar fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Aktiviti perniagaan melibatkan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd di dalam negara dipercayai telah lumpuh susulan serbuan besar-besaran oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Op Global Fasa 1 hingga Fasa 4 bermula awal bulan ini.
PDRM juga membekukan 138 akaun bank milik syarikat membabitkan wang berjumlah lebih RM800,000, selain menyita 22 kereta pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1,872,085 serta 14 lot hartanah yang menyukarkan syarikat berkenaan menjalankan operasi perniagaan mereka.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pemantauan pihaknya mendapati hampir semua premis berkaitan GISB seluruh negara tidak lagi beroperasi dan polis mengalu-alukan sebarang laporan daripada bekas ahli GISB dan mangsa mereka, untuk melengkapkan siasatan.
Beliau juga berkata kepercayaan masyarakat terhadap GISB semakin terhakis kerana pendedahan siasatan pihak berkuasa serta pendedahan kegiatan organisasi itu oleh sebuah akaun media sosial yang mendakwa membuat kajian ajaran sesat, menyebabkan rangkaian GISB mula merudum sejak Ogos lepas.
Razarudin juga berkata polis sedang menjejaki transaksi kewangan dan aset milik GISB di dalam negara menerusi siasatan terhadap individu ditahan dan maklumat risikan yang diperoleh.
Dalam pada itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan terus memastikan PDRM mengendalikan siasatan terkait kegiatan GISB dengan telus.
Beliau berkata ia termasuk memastikan 542 orang kanak-kanak bawah 18 tahun ditempatkan di penempatan perlindungan sementara diberikan akses kebajikan, kaunseling, kerohanian dan pendidikan bagi suatu tempoh hingga selesai siasatan.
Anwar turut memohon ahli dan para pendukung GISB di dalam dan luar negara yang bukan di bawah siasatan untuk menghubungi pihak berkuasa bagi meluruskan segala permasalahan dihadapi.
Di Selangor, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menzahirkan rasa dukacita terhadap penderaan dan pengabaian kanak-kanak dikaitkan dengan GISB, dengan mempersoalkan perlakuan tersebut seolah-olah organisasi itu tidak memahami hak kanak-kanak yang perlu dihormati dan disantuni.
Dalam hal tersebut, Sultan Sharafuddin bertitah inti pati khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk 'Kenapa GISB Buat Begini Kepada Kanak-Kanak', yang disampaikan di masjid-masjid seluruh Selangor mengingatkan masyarakat bahawa anak-anak merupakan amanah daripada Allah SWT yang perlu dipelihara kemuliaan dan kebajikannya.
Di Pahang, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung tindakan penguatkuasaan dan siasatan terhadap individu serta premis yang dikaitkan dengan GISB di negeri itu.
Di Perak, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan akan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi membentangkan laporan penuh berhubung kegiatan GISB di negeri itu dalam masa terdekat.
Saarani turut memaklumkan sebanyak 55 kanak-kanak diselamatkan dari rumah amal milik syarikat itu di Perak sejak pelaksanaan Op Global pada 21 Sept lepas.
Di Kelantan, Mahkamah Majistret Kota Bharu membenarkan permohonan sambung reman selama tiga hari terhadap empat individu bagi membantu siasatan berkaitan kes GISB, selepas tempoh reman mereka berakhir hari ini.
Polis mengadakan serbuan Op Global pada 11 Sept lepas terhadap 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB kerana didakwa terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.
Sejak Op Global bermula, lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISB ditahan dan 572 mangsa telah diselamatkan.
-- BERNAMA
#GISB #aktiviti perniagaan lumpuh #Op Global #PDRM
;