Aktiviti perlombongan jatuh hukum haram jika mudaratkan manusia, alam sekitar
Bernama
Januari 20, 2016 18:31 MYT
Januari 20, 2016 18:31 MYT
Sebarang kegiatan perlombongan tidak terkawal sehingga memudaratkan alam sekitar dan manusia boleh jatuh kepada hukum haram dari sudut pandangan Islam.
Pensyarah Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ahmad Irfan Ikmal Hisham berkata aktiviti perlombongan yang menyebabkan pencemaran dan menjejaskan keselamatan penduduk telah menafikan hak pemilikan bersama manusia di atas bumi ini.
"Pemilikan bersama ini bermaksud harta awam seperti udara segar, air bersih dan persekitaran selamat. Kalau kita hanya fikir tentang pemilikan peribadi (keuntungan sendiri) tanpa memikirkan pemilikan bersama, ia sesuatu yang tidak dituntut dalam Islam," katanya kepada Bernama hari ini.
Mengambil contoh isu perlombongan bauksit di sini, Ahmad Irfan berkata disebabkan tiada prosedur operasi standard (SOP) yang kemas telah menimbulkan pelbagai masalah kepada alam sekitar dan penduduk setempat.
"Cuba lihat sebelum ini jalan raya kotor, pokok-pokok dipenuhi debu bauksit dan keselamatan penduduk terancam ekoran pemandu bauksit memandu secara berbahaya bagi mengejar giliran mengangkut bauksit. Adakah situasi ini baik untuk manusia dan alam sekitar?," katanya.
Beliau berkata dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari ada disebutkan 'Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia sakiti jirannya'.
"Oleh itu dalam aktiviti bauksit ini memang terbukti bahawa yang untung adalah tuan tanah dan pengusaha bauksit manakala bagi pengusaha gerai makan dan kedai runcit teraniaya," katanya.
Ahmad Irfan, bagaimanapun berkata hukum menggunakan hasil bumi sebagai sumber rezeki seperti perlombongan dalam Islam adalah harus selagi tidak mendatangkan kemudaratan kepada persekitaran dan manusia sejagat.
Beliau berkata pemain industri bersama kerajaan negeri perlu mencari SOP berkesan dalam pelaksanaan aktiviti perlombongan itu agar tidak menjejaskan alam sekitar termasuk keselamatan penduduk.
"Saya mengharapkan dengan moratorium tiga bulan ini, kerajaan negeri boleh mencari polisi yang benar-benar berkesan untuk mengatasi permasalahan ini.
"Bagi pandangan saya, tidak salah melakukan perlombongan bauksit tetapi perlu ada kaedah yang betul-betul mesra alam dan manusia," katanya.