Aktiviti perjudian dalam talian: Bekalan elektrik 23 premis dipotong
Izlaily Nurul Ain Hussein
Februari 2, 2022 15:11 MYT
Februari 2, 2022 15:11 MYT
JOHOR BAHRU: Sebanyak 23 premis di seluruh negeri Johor diarahkan polis untuk dipotong bekalan elektrik selepas disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.
Semua premis yang antaranya kedai runcit, kedai telekomunikasi dan pusat snuker itu membabitkan daerah Kluang, Batu Pahat, Muar dan Kulai.
Arahan pemotongan elektrik itu dibuat sejak Januari hingga kini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menjalankan Op Bersepadu JOL
sebagai langkah dan usaha untuk membanteras kegiatan perjudian di negeri itu.
"Semalam sahaja, sebanyak 389 premis diperiksa, namun disahkan tiada elemen perjudian.
"Aktiviti perjudian ini disyaki dilakukan di premis-premis kedai runcit, kedai telekomunikasi dan pusat-pusat snuker.
"Jenis perjudian ini menggunakan konsep ejen tambah nilai melalui atas talian," katanya.
Kamarul Zaman berkata, dalam operasi yang diadakan dari jam 9 pagi hingga 7 petang semalam, sebanyak 10 serbuan berjaya dilakukan di Kota Tinggi, Pontian, Kluang dan Johor Bahru Utara (JBU).
Manakala, katanya, seramai 13 individu yang juga warga tempatan ditahan terdiri daripada 11 lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 57 tahun.
"Mereka yang ditahan ini ialah penjaga premis dan ada juga pemain.
"Kita turut merampas 12 telefon bimbit yang disyaki digunakan dalam aktiviti perjudian.
"Selain itu, wang tunai sebanyak RM1,393 turut dirampas," jelasnya.
Menurut Kamarul, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.