Aktiviti pelancongan semakin rancak, purata kadar penghunian hotel meningkat
Harits Asyraf Hasnan
Disember 13, 2021 12:06 MYT
Disember 13, 2021 12:06 MYT
KUALA LUMPUR: Aktiviti pelancongan dalam negeri menunjukkan perkembangan positif apabila purata kadar penghunian (AOR) hotel semakin meningkat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Santhara Kumar berkata, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) melaporkan, AOR ahli-ahlinya meningkat kepada 21.04 peratus dan 28.77 peratus pada bulan Ogos dan September 2021 berbanding hanya 18.52 peratus dan 16.38 peratus masing-masing pada bulan Mei dan Jun tahun ini.
"Trend ini semakin baik, apabila kerajaan mula membenarkan aktiviti pelancongan rentas negeri bermula 11 Oktober 2021.
"Ini dapat dilihat apabila data yang sama menunjukkan kadar AOR terus meningkat masing-masing kepada 42.46 peratus dan 44.64 peratus pada bulan Oktober dan November 2021.
"Sebagai perbandingan, data oleh MAH menunjukkan bahawa kadar AOR pada tahun 2019, iaitu sebelum penularan COVID-19, adalah 59.99 peratus.
"Dengan mengambil kira bahawa sempadan antarabangsa negara yang masih belum dibuka sepenuhnya untuk tujuan pelancongan serta rakyat dalam negara yang mula menyesuaikan diri dengan melancong dalam norma baharu, angka ini adalah satu permulaan yang baik," katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator N. Balasubramaniam yang bertanyakan adakah disebabkan faktor prosedur operasi standard (SOP) dan pengamalan prosedur yang ketat menyebabkan sektor perhotelan masih kurang mendapat sambutan.
Mengulas lanjut, Santhara berkata, rakyat Malaysia kini sudah mula menyesuaikan diri dengan gaya hidup norma baharu.
Pada masa sama, pembangunan SOP oleh kerajaan dalam melakukan aktiviti-aktiviti yang dibenarkan bukanlah untuk membebankan rakyat, malah untuk memastikan Keluarga Malaysia dapat bersama-sama membendung penularan COVID-19.
"Keluarga Malaysia juga kini bijak menilai dan mengambil cakna sekiranya terdapat ketidakpatuhan SOP, dengan melahirkan rasa kebimbangan dan melaporkannya kepada pihak berkuasa.
"Justeru, Prosedur Operasi Standard yang dibangunkan dapat membuatkan pengunjung hotel dapat melancong dengan penuh yakin terhadap keselamatan mereka, seterusnya dapat menggunakan premis penginapan pelancongan tanpa rasa bimbang," ujarnya.
Justeru, jelasnya, MOTAC akan giat meneruskan promosi dan inisiatif dalam terus merancakkan lagi industri pelancongan negara, sama ada domestik mahupun menyambut kehadiran pelancong asing ke negara ini.