Aktiviti pelancongan di Semporna kembali pulih - Shafie Apdal

Bernama
Februari 21, 2015 16:52 MYT
Suasana di bandar Semporna sewaktu insiden di Lahad Datu sedang memuncak - Foto fail
Aktiviti pelancongan di Semporna semakin pulih berikutan kawalan keselamatan yang dijalankan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ia dapat dilihat menerusi pertambahan kehadiran pelancong asing dan tempatan ke kawasan ini.
Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat setempat supaya terus memberikan kerjasama kepada ESSCom dalam meningkatkan kawalan keselamatan.
"Keadaan ini seterusnya dapat memberi keyakinan kepada pelancong asing dan tempatan untuk mengunjungi daerah ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pemimpin Bersama Ibu Bapa dan Warga Sekolah Agama Negeri Pekan Semporna di sini, hari ini.
Mohd Shafie yang juga Anggota Parlimen Semporna berkata langkah kerajaan menubuhkan ESSCom selain melaksanakan langkah lain secara berterusan dapat meningkatkan peranan agensi itu bagi membolehkan kawalan keselamatan di timur Sabah dapat ditingkatkan.
Beliau turut meminta masyarakat setempat supaya memberi sokongan kepada pihak berkuasa khususnya pelaksanaan perintah berkurung di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZOne).
#ESSCom #Mabul #pelancongan #Semporna #Shafie Apdal #Sipadan
;