Aktiviti pelancongan di negeri PKPB dibenarkan dengan 50 peratus kapasiti premis
Astro Awani
Februari 18, 2021 20:04 MYT
Februari 18, 2021 20:04 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk membenarkan aktiviti di premis pelancongan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bagaimanapun beliau menegaskan kebenaran itu diberikan dengan operasi pada kadar 50 peratus daripada kapasiti premis dengan penjarakan fizikal.
Katanya, kebenaran itu diberikan termasuk di lokasi seperti zoo, akuarium, pusat 'edutainment', taman semula jadi, sukan ekstrem, rekreasi dan ladang.
"Bagi kawasan PKP Pemulihan (PKPP), aktiviti pelancongan domestik dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal.
"Walaupun kebanyakan sektor dan aktiviti telah dibenarkan, masih terdapat sektor atau aktiviti yang masih di bawah senarai terlarang yang boleh dirujuk di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya pada sidang media PKP, di Putrajaya pada Khamis.
Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, kebenaran turut diberikan dengan syarat sama di premis hasil seni budaya dan warisan seperti perpustakaan, muzium, galeri seni, pentas persembahan budaya, pusat hiburan keluarga dan taman tema luar.