Aktiviti menangguk ikan bukan perkara asing untuk warga emas
Nur Fazlizai Ali
Mac 20, 2021 09:20 MYT
Mac 20, 2021 09:20 MYT
KUALA TERENGGANU: Aktiviti 'menangguk ikan' mungkin bukanlah aktiviti asing bagi mereka yang berada dalam kelompok usia emas namun bagi generasi muda, namun mungkin ramai yang tidak mengetahuinya.
Menangguk ikan merupakan aktiviti menangkap ikan secara tradisional yang hanya menggunakan tangguk, serkap serta serampang.
Cara penangkapan ikan itu telah digunakan oleh masyarakat terdahulu sejak lebih 50 tahun lalu untuk mencari sumber pendapatan.
Bagaimanapun, di Kampung Gong Baru, Kuala Terengganu, aktiviti ini masih dilakukan dan tangguk yang diperbuat daripada rotan dan buluh yang kini susah perolehi masih digunakan.
Menurut penduduk, Daud Ismail, tradisi menangguk sudah sebati dengannya sejak 50 tahun lalu dan masih digunakan atau sehingga kini.
Warga emas yang berusia 61 tahun itu berharap, aktiviti menangguk itu tidak pupus ditelan zaman dan dapat diperkenalkan kepada lebih ramai golongan muda agar tradisinya tidak ditelan zaman.
“Masa pakcik zaman dulu, menangguk ikan dalam kubang ini merupakan satu punca pendapatan. Zaman sekarang mereka tidak kenal lagi apa itu tangguk, apa serkap, apa raga batang,” katanya.
Sementara itu seorang lagi penduduk, Mohd Hanafiah Ismail berkata, lazimnya penduduk di kampung itu akan mencari pelbagai jenis ikan di alur Sungai Kampung Gong Baru secara beramai-ramai ketika tiba musim mengetam padi.
Katanya, ikan keli, puyu, sepat antara spesies yang menjadi buruan mereka setiap kali melakukan aktiviti itu.
“Bagi orang zaman dahulu, menangguk ini merupakan satu tradisi. Maknanya selepas habis musim padi atau mengetam padi, makna air di baruh ataupun di sungai tu kering dan mereka akan menangguk ikan.
"Kadang-kadang akan dapat ikan lampam, ada ikan selat dan ada juga udang beras,” jelasnya.
Dalam pada itu, seorang pelajar Muhammad Haziq Hafiy Adha Mohd Hanafiah teruja dapat merasai pengalaman menangkap ikan secara tradisional dan yang sukar untuk dilihat pada masa kini.
“Kita anak muda ini teruja dapat menangguk ikan secara tradisional, satu lagi menggunakan alatan yang lama dah dibuat dari buluh rotan.
“Zaman sekarang ini, susah untuk jumpa alatan seperti ini kerana menangguk ikan itu susah juga menggunakan alatan itu,” ujarnya.
Katanya, dia bertuah kerana masih berpeluang melihat aktiviti seperti itu dengan menggunakan alatan tradisional menangkap ikan yang sangat susah untuk diperolehi pada zaman serba moden ini.