Aktiviti kawalan penumpang akan dipertingkatkan di stesen Al Mashaaer Makkah Metro
Bernama
September 26, 2015 08:55 MYT
September 26, 2015 08:55 MYT
Perkhidmatan rel Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro Southern Line (MMMSL) akan dipertingkatkan melalui aktiviti kawalan penumpang di kawasan stesen.
Jurucakap MMMSL, Azhar Ghazali dalam kenyataan hari ini berkata operasi tiga hari terakhir ibadat haji yang tertumpu di Mina pada 11, 12, 13 Zulhijjah (25, 26, 27 Sept) akan melibatkan lima daripada sembilan stesen di bawah Pergerakan E dengan tren-tren MMMSL berhenti di Arafah 3, Muzdalifah, Mina 1, Mina 2, Mina 3 di Jamrah untuk menurun dan mengambil penumpang.
Sementara itu, operasi pada 11 dan 12 Zulhijjah akan terus berjalan selama 22 jam manakala pergerakan tren pada 13 Zulhijjah, Hari Tasyrik yang terakhir, dijadualkan tamat pada 6 petang.
"Berdasarkan pengalaman lepas, ketiga-tiga stesen di Mina khususnya Mina 3 di Jamarat amat sibuk dua hari ini (11 dan 12 Zulhijjah) kerana ibadat melontar, dan para penumpang akan beratur di 'ramp' sebelum dibenarkan masuk ke stesen dan mengambil giliran menaiki tren.
Di samping para petugas khusus untuk 'kawalan penumpang', kami juga meminta petugas kita dan petugas daripada Kementerian Pertahanan Awam Arab Saudi bekerja untuk membantu mereka selain turut meminta para kontraktor menambah kakitangan bagi memastikan pengurusan lancar untuk tiga hari terakhir dalam operasi MMMSL tahun ini," katanya.
Menurut Azhar, pelan perancangan itu telah dibuat pada satu mesyuarat tidak rasmi semalam di Stesen Mina 3 yang turut dihadiri oleh para pegawai tinggi Prasarana Malaysia Berhad yang dipilih menjadi operator perkhidmatan MMMSL untuk tiga tahun mulai tahun ini.
Azhar yang juga Pengurus Media Prasarana berkata cabaran terbesar kepada petugas adalah untuk memastikan penumpang tidak menahan pintu-pintu platform dan pintu tren ketika berpusu-pusu masuk.
"Beribu-ribu penumpang ingin menggunakan perkhidmatan ini pada satu masa, semua mahu cepat sehingga lupa tentang keselamatan diri, kerana itu kami memerlukan banyak pembantu untuk mengawal mereka.
"Senario di sekitar stesen dengan 'ramp' yang luas dan panjang juga membuatkan jemaah terpaksa beratur dalam cuaca panas terik dengan sebilangan daripada mereka menggunakan kerusi roda akan beratur dalam barisan panjang untuk menggunakan lif.
MMMSL menggunakan tren 12 gerabak dengan setiap tren mampu membawa sehingga 3,500 penumpang pada satu masa dan masa menunggu kira-kira lima minit dengan 12 tren digunakan untuk operasi.
Semalam, dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu (waktu Arab Saudi), lebih 700 jemaah haji dilaporkan terkorban manakala beratus lagi cedera dalam kejadian rempuhan di kawasan perkhemahan jemaah dari negara-negara Arab.