Aktiviti kacau dodol rapatkan saf masyarakat di musim perayaan
Astro Awani
Ogos 10, 2019 19:48 MYT
Ogos 10, 2019 19:48 MYT
Adat resam dan budaya turun temurun selain aktiviti kemasyarakatan serta keagamaan kepercayaan masing-masing tidak patut dilupakan mahupun ditelan zaman pada era teknologi pintar yang semakin menguasai masyarakat.
Ia termasuk aktiviti mengacau dodol sewaktu musim perayaan yang semakin dilupakan dan tidak lagi meriah seperti dahulu ekoran tiada kemahiran, kurang pengetahuan selain tiada generasi pelapis.
Justeru, inisiatif Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) yang menganjurkan aktiviti mengacau dodol menjadi salah satu usaha merapatkan hubungan kemasyarakatan di Sijangkang.
Bertempat di Balai Penghulu Telok Panglima Garang, suasana meriah dan mesra dapat dilihat apabila masyarakat setempat dari pelbagai latar belakang mengambil tempat dan bahagian masing-masing untuk mengacau dodol.
Walaupun diakui ada masanya rumit dan mencabar, namun ia diakui antara ramuan dan cabaran sebelum mampu menghasilkan dodol yang benar-benar sedap.
Penganjur program, Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 3 MDKL Norhaninawati Mohd Yusof berkata, inisiatif itu diambil untuk mengimarahkan dan memeriahkan malam sambutan Hari Raya Aidiladha.
Ia menjadi acara yang mampu mengeratkan lagi perpaduan penduduk khususnya di Sijangkang, Kuala Langat sendiri.
"Program ini mendapat kerjasama Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Negeri Selangor, Datuk Rashid Asari, Penyelaras DUN Sijangkang, Rosnizan Ahmad, MPP Zon 4 Siti Nor Eaini Nasuka dan Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Telok Panglima Garang.
"Kita memerlukan kemahiran 'orang lama' yang masih lagi mahir dan berbisa dalam membuat dodol berbanding generasi muda dan oleh itu, program ini sedikit sebanyak dapat mengajar mereka teknik untuk membuat dodol yang sedap.
"Dengan kesedaran ini, maka tercetuslah idea pihak berkuasa tempatan MPP Zon 3 untuk menganjurkan program yang sedikit sebanyak dapat menghidupkan semula tradisi makanan Melayu," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Jelasnya lagi, makanan warisan seperti dodol harus dikekalkan dengan penambahan usaha memberi tunjuk ajar, pengalaman serta pengetahuan asal usul makanan tradisi itu.
Tambahnya, ia termasuk cara pembuatan secara tradisional yang seringkali disediakan khusus semasa menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.
"Hakikatnya, budaya makanan orang Melayu menjadi pilihan apabila setiap kali tiba musim perayaan dan dodol yang terkenal di Melaka dan Johor ini adalah di antara manisan yang menjadi pilihan semasa perayaan.
"Kami berharap, program ini akan menjadi satu acara tahunan setiap kali tiba perayaan Hari Raya Aidiladha," katanya.
#Aidiladha
#aktiviti kacau dodol
#dodol
#hari raya
#hari raya aidiladha
#Hari Raya Aidilfitri
#Majlis Daerah Kuala Langat
#Melayu
#perpaduan
#Sijangkang
#Siti Nor Eaini Nasuka