Aktiviti imarah masjid, surau di Sarawak dibenarkan mulai 4 Oktober ini

Shafik Ahmad
Oktober 1, 2021 17:47 MYT
MIS memaklumkan hanya jemaah dan petugas yang sudah lengkap dua dos vaksin dibenarkan menghadiri aktiviti pengimarahan di masjid atau surau.
KUCHING: Semua aktiviti pengimarahan masjid dan surau di Sarawak adalah dibenarkan dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 semasa bermula 4 Oktober ini.
Dalam kenyataan Majlis Islam Sarawak (MIS) pada Jumaat, antara aktiviti yang dibenarkan adalah pengajian, kuliah, ceramah, kursus dan bengkel.
Bagaimanapun, aktiviti membabitkan sentuhan fizikal seperti praktikal pengurusan jenazah tanpa alas masih tidak dibenarkan.
Dalam kenyataan sama, MIS memaklumkan hanya jemaah dan petugas yang sudah lengkap dua dos vaksin dibenarkan menghadiri aktiviti pengimarahan di masjid atau surau.
Manakala acara pengurusan jenazah dan pengebumian yang tiada kaitan dengan COVID-19 serta ziarah kubur adalah dibenarkan tetapi tertakluk kepada SOP sedia ada.
Sementara itu aktiviti solat Jumaat, fardu dan sunat dibenarkan di Masjid Jamek Negeri, semua masjid bahagian, daerah, daerah kecil, kariah dan surau dengan mengambil kira keluasan ruang solat bagi membolehkan jemaahnya mempraktikkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.
#imarah masjid #Sarawak #Majlis Islam Sarawak #Solat Jumaat
;