Aktiviti golongan muda perlu diselitkan aktiviti keagamaan

Astro Awani
Jun 19, 2013 10:16 MYT
Kerajaan negeri perlu mengorak langkah, mana-mana program yang melibatkan penyertaan golongan muda haruslah diselitkan dengan aktiviti-aktiviti keagamaan bagi membentuk sahsiah yang cemerlang dunia dan akhirat.
Ia juga sebagai langkah membendung aktiviti atau kegiatan yang tidak bermoral dan mencipta suasana yang lebih berdisplin sesuai dengan ajaran Islam yang shumul (lengkap) dalam pelbagai aspek.
Menurut Mufti Kedah, Datuk Badruddin Ahmad tidak salah jika program-program anak muda seperti acara sukan, penjelajahan dan program santai asalkan ianya digandingkan bersama aktiviti keagamaan dan kerohanian.
Ini kerana katanya sesuatu program yang tidak berpaksikan kepada keagamaan akan menyebabkan sesuatu usaha yang dilakukan adalah sia-sia malah tidak mencapai tujuan yang diinginkan.
Kebelakangan ini kecenderungan menganjurkan sesuatu aktiviti yang dilakukan untuk mengajak anak muda agar tidak terjerumus dalam aktiviti tidak bermoral namun pada masa yang sama mereka tidak menekankan aspek keagamaan dalam penganjuran itu maka ia tidak membawa keberkatan.
Malah kebimbangan ada aktiviti terdapat percampuran antara lelaki dan perempuan serta tiada waktu untuk menunaikan solat perlu diambil kira oleh penganjur bagi mewujudkan satu keseimbangan.
“Saya merasakan bahawa pihak berwajib khususnya kerajaan hendak ada program–program yang menjurus ke arah membimbing anak muda ini sebab selama ini kita tengok program-program sukan program menjelajah dan sebagainya program keagamaan ini harus digandingkan dia nak jelajah naik basikal naik motor tapi program keagamaan harus ada saya merasakan bahawa dari segi cadangan akan dibuat di kawasan Kubang Pasu minta saya nak himpun anak muda dalam satu majlis untuk kita nasihat anak muda ini supaya mereka mendekati agama sebab kita rasa bahawa kalau kita tidak pimpin mereka ke arah ini mereka akan dipimpin orang lain ke arah lain,” kata beliau.
Justeru itu, katanya semua pihak harus sedar dan berganding bahu untuk mewujudkan persekitaran yang seimbang ini agar setiap aktiviti yang dianjukran berjaya membentuk sahsiah anak muda bercirikan Islam.
Menurut beliau ketika zaman kegemilangan Islam di bawah kepimpinan Nabi Muhammad S.A.W anak muda zaman itu sangatlah cemerlang dan berani dalam pelbagai perkara.
Malah mereka sanggup berperang demi mempertahanakan agama dan tanah air serta taat kepada pemimpin.
Malah ada yang menjadi gabenor dan ada yang menjadi ilmuan agung di Tanah Arab sedangkan sebelum itu mereka berada dalam kegelapan di zaman Jahiliah.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kuliah pagi mingguan di Dewan Seri Mentalon di Alor Setar Kedah.
Turut hadir kira-kira lima puluh orang ramai yang tinggal berdekatan bagi mendengar majlis ilmu yang dianjurkan Majlis Agama Islam negeri Kedah yang diadakan setiap minggu.
#Kedah #kerajaan negeri #Mufti Kedah
;