Aktiviti ekonomi di Kota Sentosa Kuching berjalan seperti biasa
Astro Awani
Julai 26, 2020 16:16 MYT
Julai 26, 2020 16:16 MYT
Kuching kini diisytiharkan sebagai Zon Merah selepas kes positif COVID-19 direkodkan melebihi 40 kes.
Malah beberapa kluster dilihat masih aktif yang turut menyumbang kepada peningkatan kes dalam tempoh 14 hari terutama di Kuching dan Samarahan.
Laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Kementerian Kesihatan turut peningkatan mendadak melibatkan kluster Sentosa.
Untuk itu, satu keputusan dibuat dengan menutup Hospital Sentosa dan lebih 600 kakitangan dan pesakit diarahkan kuarantin di hospital tersebut serta tidak dibenarkan pulang ke rumah.
Tinjauan Astro AWANI di Kota Sentosa mendapati rata-rata aktiviti ekonomi berjalan seperti biasa.
Sebagai contoh, kedai makan, pasar serta kedai-kedai yang berdekatan dengan Hospital Sentosa dalam lingkungan jarak satu hingga 10 kilometer radius masih dikunjungi orang awam.
Dari sudut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pula, ia masih dipraktikkan yang mana orang awam yang berada di kawasan tumpuan ramai menggunakan pelitup muka selain mengamalkan penjarakan sosial
Dalam pada itu, tinjauan di sekitar Hospital Sentosa mendapati ia ditutup malah pergerakan dilihat terhad hanya kepada petugas di hospital berkenaan sahaja dan orang awam yang ingin masuk tidak dibenarkan selain diarah pulang.
Selain itu, beberapa pusat penjaja di sekitar kawasan tersebut dilihat menjalani proses sanitasi bagi memastikan gerai-gerai dalam keadaan bersih dan selamat.
Manakala sekolah di sekitar kawasan itu juga masih menunggu keputusan dan arahan lanjut JPBN sama ada dibenarkan beroperasi atau sebaliknya.
Sementara itu tinjauan di Pasar Satok pula mendapati keadaan tidak seramai ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun, SOP semakin ketat yang mana pengunjung berusia 13 tahun ke bawah dan 70 tahun ke atas tidak dibenarkan masuk.
Malah semakan kad pengenalan juga dilakukan bagi tujuan penyimpanan rekod maklumat pengunjung.
#aktiviti ekonomi
#COVID-19
#Hospital Sentosa
#kes positif
#kluster Sentosa
#Kuching
#Sarawak
#zon merah