Aktiviti eko-pelancongan hutan dan rekreasi tidak dibenarkan ketika PKPB - JPNPk
Aida Aziz
Mei 3, 2020 10:00 MYT
Mei 3, 2020 10:00 MYT
Aktiviti eko-pelancongan hutan termasuk Taman Eko-Rimba yang diurus tadbir oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) dan semua jenis aktiviti rekreasi tidak dibenarkan sama sekali dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei ini.
Pengarah JPNPk, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata larangan ini juga merangkumi aktiviti pendakian, sukan basikal lasak dan permotoran di semua laluan pendakian yang terletak di dalam Hutan Simpanan Kekal negeri Perak serta aktiviti senaman dan berjoging di dalam hutan tersebut.
Katanya, tindakan itu sebagai tanda sokongan kepada barisan hadapan dan kerajaan dalam usaha menghentikan penyebaran dan penularan wabak COVID-19 dalam negeri Perak.
"Hampir semua sektor ekonomi termasuk Sektor Pengurusan Perhutanan akan mula beroperasi bermula pada 4 Mei ini, bagaimanapun di bawah sektor tersebut terdapat aktiviti yang tidak dibenarkan beroperasi iaitu Aktiviti Eko-Pelancongan Hutan.
"Ia termasuk semua jenis aktiviti rekreasi, riadah, perkelahan dan mandi-manda, senaman dan sebagainya yang melibatkan kehadiran orang ramai adalah dilarang dan tidak dibenarkan.
"Jabatan juga ingin mengingatkan larangan berekreasi ini turut terpakai bagi kawasan rekreasi Bukit Kledang di Menglembu dan Pusat Perkelahan Ulu Chepor, Chemor kerana kawasan tersebut masih berstatus Hutan Simpanan Kekal meskipun kawasan tersebut pada awalnya dibangunkan oleh orang awam," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, dia menegaskan penutupan ini diambil sebagai langkah berwaspada bagi mengelakkan penyebaran wabak COVID-19 kepada para pengunjung Taman Eko-Rimba serta kawasan rekreasi di dalam Hutan Simpanan Kekal negeri Perak.
"Semua Taman Eko-Rimba serta kawasan rekreasi milik JPNPk ditutup sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
"Mana-mana pihak atau individu yang ingkar dan melanggar perkara seperti yang dinyatakan dan sekiranya disabitkan bersalah, individu tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985.
"Atau di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Polis 1967 dan juga Peraturan 7 serta Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya lagi.
Senarai Taman Eko-Rimba di Perak ialah Taman Eko-Rimba Lata Kekabu ;Taman Eko-Rimba Pulau Tali Kail, Taman Eko-Rimba Ulu Kenas,Taman Eko-Rimba Kledang Saiong, Taman Eko-Rimba Ulu Kinta,Taman Eko-Rimba Papan dan Taman Eko-Rimba Pasir Panjang.
Selain itu, ia termasuk Taman Eko-Rimba Ulu Licin, Taman Eko-Rimba Sungai Salu, Taman Eko-Rimba Bukit Larut, Pusat Eko-Pelajaran Hutan Paya Laut Matang, Taman Eko-Rimba Kuala Woh, Taman Eko-Rimba Lata Iskandar dan Taman Eko-Rimba Lata Kinjang.
#aktiviti rekreasi
#Bukit Kledang
#COVID-19
#Hutan Simpanan Kekal
#JPNPk
#koronavirus
#mandi-manda
#PKPB
#Pusat Perkelahan Ulu Chepor
#riadah
#senaman
#Taman Eko-Rimba