Aktiviti di Masjid Sri Petaling berjalan seperti biasa
Fareez Azman
Mac 14, 2020 17:34 MYT
Mac 14, 2020 17:34 MYT
Aktiviti ibadah di Masjid Sri Petaling di sini berjalan seperti biasa selepas menjalani disinfeksi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tinjauan Astro AWANI mendapati aktiviti ilmu agama terus dijalankan di masjid berkenaan.
Difahamkan, kesemua jemaah telah menjalani pemeriksaan kesihatan yang dijalankan oleh KKM sebelum ini dan menunggu keputusannya.
Salah seorang jemaah, Erwan Wargaiska, 40, yang berkongsi pengalaman ketika berada dalam Majlis Ijtimak Tabligh di masjid berkenaan pada 28 Februari lalu berkata, dia dan sebilangan rakan-rakan jemaah lain telah bekerjasama dengan pihak berkuasa melakukan pemeriksaan.
Katanya, dia mendapat khabar mengenai ada jemaah dijangkiti wabak COVID-19 seminggu selepas acara perhimpunan itu.
"Alhamdulilah, pihak Kementerian Kesihatan beri kerjasama dengan kami dan kami pun berikan kerjasama buat pemeriksaan. Pemeriksaan diadakan beberapa hari sehingga pukul 8 malam. Mereka ambil sampel," katanya.
Sekalipun segala prosedur pemeriksaan sudah diikuti, namun, apa yang mengecewakan Erwan ialah, tanggapan masyarakat susulan penularan berita itu memberi impak negatif terhadap masjid dan perkara itu perlu dihentikan.
Seorang lagi jemaah di masjid itu, Ismail Zakaria, 60, pula berkata, sebaik menerima berita menerusi aplikasi WhatsApp yang mendakwa Masjid Sri Petaling ditutup, dia bergegas untuk melihat sendiri.
"Saya tengok masjid macam biasa tiada tutup tiada apa, orang keluar masuk macam biasa. Saya dengar tiada rasa apa-apa, tengok keadaannya macam biasa tiada rasa macam terperanjat bila dengar khabar angin seperti itu," kata Ismail.
Sehingga kini, difahamkan seramai 14,500 jemaah menyertai Ijtimak Tabligh pada 28 Februari itu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu entri terbaharu di laman Twitter miliknya menasihatkan supaya jemaah yang menghadiri perhimpunan itu dari 27 Februari hingga 1 Mac lalu tidak solat berjemaah di masjid dan surau atau menghadiri solat Jumaat sekiranya mempunyai gejala sehingga mereka disahkan sihat.
#Astro
#Astro Awani
#coronavirus
#COVID-19
#Dr Noor Hisham Abdullah
#Kementerian Kesihatan
#KKM
#koronavirus
#Noor Hisham Abdullah
#tabligh
#Twitter